Dari Abu Firas rahmatullah ‘alaih (seorang dari Kabilah Aslam) telah
berkata: seorang telah berseru dan bertanya: ya Rasulullah! Apa itu
iman? Nabi SAW bersabda: Iman itu ialah ikhlas. (HR Baihaqi)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Besarkanlah Allah SWT dalam hati kamu nescaya kamu akan diampuniNya. (HR
Ahmad)
Dari Ibnu ‘Abbas r.huma, katanya: Rasulullah SAW bersabda: Ada dua macam
kenikmatan yang keduanya itu disia-siakan oleh sebagian besar manusia
iaitu kesihatan dan kelapangan waktu. (Riwayat Bukhari)
Dari Abu Umamah r.a menukilkan sabdaan Rasulullah SAW; Bersedekah secara
sembunyi memadamkan kemurkaan Allah SWT. (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)
Dari Irbadh bin Sariah r.a berkata aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Sesungguhnya aku ialah hamba Allah dan Nabi yang terakhir. (HR
Mustadrak Hakim)
Dari Sa’ad r.a menceritakan bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW
bersabda: Allah SWT menyukai hamba-hamba yang bertakwa, yang tidak
berharap kepada makhluk dan tidak terkenal. (HR Muslim)
Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah akan menunaikan
segala hajatnya. (HR Abu Daud)
Dari Ibnu Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Jangan menyakiti orang-orang Islam, jangan mencela mereka dan jangan
mencari keburukan mereka. (HR Ibnu Hibban)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka
hendaklah dia mengatakan kebaikan atau diam. (HR Bukhari)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: Allah telah
menetapkan lima perkara bagi setiap hambaNya; Ajalnya dan rezekinya,
umurnya, untung nasib buruk dan nasib baiknya. (HR Ahmad)
Dari Jabir bin Abdullah r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Sebaik-baik zikir ialah La ilaha illallah dan sebaik-baik doa
ialah Alhamdulillah. (HR Tirmizi)
Dari Uthman ibn Affan r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: yang terbaik diantara kamu adalah orang yang belajar Al-Quran
dan mengajarkannya. (HR Tirmizi)
Dari Abu Bakar Siddiq r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Tidak akan masuk syurga seorang penipu, bakhil dan orang yang
mengungkit-ungkit pemberian. (HR Tirmizi)
Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa luput daripadanya sifat lemah lembut dia adalah luput dari
(segala) kebaikan. (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Ditutupilah neraka dengan berbagai kesyahwatan - keinginan - dan
ditutupilah syurga itu dengan berbagai hal yang tidak disenangi.
(Muttafaq ‘alaih)
Dari Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Orang yang terlebih dahulu memberi salam akan terhindar dari sifat
Takabbur. (HR Baihaqi)
Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah
sempurna iman kamu sehingga kamu mencintai saudara kamu sebagaimana kamu
mencintai diri kamu sendiri. (HR Bukhari)
Dari Harithah bin Nukman r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Memberi sesuatu dengan tangannya kepada orang miskin,
menghindarkan daripada kematian yang buruk. (HR Tabrani, Baihaqi)
Dari Jabir bin Abdullah r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Memberi makan kepada orang Islam yang lapar adalah diantara
amal yang wajib mendapat pengampunan. (HR Baihaqi)
Dari Aishah r.ha meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya orang yang sangat dibenci oleh Allah ialah orang yang suka
bertengkar. (HR Muslim)
Dari Umar ibn Al Khattab r.a meriwayatkan; Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Sesungguhnya Allah SWT sangat menyukai sembahyang secara
berjemaah. (HR Musnad Ahmad)
Dari Abdullah r.a berkata bahawa aku melihat Rasulullah SAW mengerjakan
sembahyang, dan terdengar dari dadanya suara seperti putaran batu
gilingan kerana tangisannya. (HR Abu Daud)
Dari Ummi Farwah r.ha berkata; Rasulullah SAW telah ditanya oleh
seseorang, apakah amalan yang terafdhal? Baginda menjawab: Sembahyang di
awal waktu. (HR Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Dunia
ialah penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga bagi orang-orang
kafir. (HR Muslim)
Dari Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa meninggalkan sembahyang dia akan bertemu Allah dalam
keadaan Allah sangat murka kepadanya. (HR Bazzar, Tabrani)
Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Doa adalah
senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit
dan bumi. (HR Hakim)
Dari Ibnu Abbas r.huma meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Seorang alim lebih ditakuti oleh syaitan daripada seribu orang
abid. (HR Tirmizi)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Pergi ke masjid di waktu pagi dan petang adalah sebagai Jihad di Jalan
Allah. (HR Tabrani)
Dari Ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa berwudhuk walaupun dia masih suci (memperbaharui wudhuk),
dia akan mendapat sepuluh kebaikan. (HR Abu Daud)
Dari Abu Said Al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa mencintai masjid dia akan dicintai oleh Allah. (HR
Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Tiada sesuatu yang lebih mulia disisi Allah selain daripada
doa. (HR Tirmizi)
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong dalam hatinya,
maka dia tidak dapat memasuki syurga. (HR Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Selama mana seseorang hamba itu tidak menjaga lidahnya, dia
tidak dapat mencapai hakikat iman. (HR Tabrani)
Dari Anas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sepagi atau
sepetang di jalan Allah SWT adalah lebih baik dari dunia dan segala
isinya. (Mirqat)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Tidak akan memasuki syurga bagi orang yang tidak memelihara jirannya
dari kejahatannya. (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa tidak bersyukur kepada manusia, dia tidak akan bersyukur
kepada Allah. (HR Tirmizi)
Dari Uthman bin ‘Affan r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah
SAW telah bersabda: Sehari di jalan Allah SWT lebih baik dari seribu
hari yang lain. (HR Nasa’i)
Dari Anas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sepagi atau
sepetang di jalan Allah SWT adalah lebih baik dari dunia dan segala
isinya. (Mirqat)
Daripada Ibnu Mas’ud r.a berkata: Demi Allah, di muka bumi ini tiada
sesuatu yang memerlukan sujud lebih lama melainkan lidah. (at-Targhib,
al-Mundziri)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Orang yang paling banyak mendapat manfaat daripada syafaatku
pada hari kiamat nanti ialah seorang yang mengucapkan kalimah La ilaha
illallah dengan ikhlas di dalam hatinya. (HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Seorang hamba tanpa berfikir panjang mengatakan satu perkara yang
kerananya dia akan terhumban ke neraka Jahanam lebih jauh dari jarak
bumi dan langit. (HR Muslim)
Dari Hasan r.a berkata telah sampai kepada kami satu hadith bahawa
Rasulullah SAW telah bersabda: Moga-moga Allah merahmati seorang hamba
yang baik lalu memperoleh keuntungan di dunia dan di akhirat, atau
berdiam diri dan terselamat dari salah silap lidah. (HR Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Keelokkan dan kesempurnaan seseorang ialah bahawa dia yang meninggalkan
perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (HR Tirmizi)
Dari Abdullah bin Amir Ibn As r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Sesungguhnya Iman akan menjadi lusuh dan buruk didalam hati
kamu sebagaimana pakaian akan menjadi buruk apabila dipakai. Oleh itu
mintalah kepada Allah untuk memperbaharui iman dalam hati-hati kamu. (HR
Hakim)
Dari Hind bin Abi Halab r.a ketika menceritakan peribadi Nabi SAW
berkata bahawa Rasulullah SAW; (kerana umatnya) berterusan bersedih dan
sentiasa berfikir, tidak langsung berasa tenang bila-bila masa pun.
Baginda selalu diam dan tidak akan berbicara jika tidak perlu. (HR
Tirmizi)
Dari ‘Amr bin Abasah r.a meriwayatkan bahawa dia bertanya iman apakah
yang lebih afdhal? Baginda SAW menjawab: Iman yang mana disertai dengan
hijrah. Beliau bertanya: Apakah hijrah itu? Baginda SAW menjawab: Hijrah
daripada meninggalkan kejahatan. (HR Musnad Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa
yang hendak merasai kenikmatan iman, maka hendaklah dia mencintai orang
Islam yang lain, semata-mata kerana Allah. (HR Musnad Ahmad, Bazzar dan
Majma uz Zawaid)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa aku telah mendengar Rasulullah
SAW telah bersabda: Berdiri sejenak di jalan Allah SWT adalah lebih
baik dari beribadat pada malam lailatul Qadar di hadapan Hajar Aswad.
(HR Ibn Hibban)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tiada
siang dan malam kecuali Allah mengurniakan kepada hambaNya KeEhsananNya
dan sedeqah. Dan tiada keehsanan yang lebih baik daripada berzikir
kepadaNya. (HR Tabrani)
Dari Abdullah bin Umar r.a berkata; telah bersabda Rasulullah SAW:
Sembahlah Ar-Rahman, berilah makan dan sebarkanlah salam dan (melalui
amalan-amalan ini) kamu akan memasuki syurga dengan kesejahteraan. (HR
Tirmizi)
Dari Abu Umamah Al-Bahiliy r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Dari amalan-amalan; Allah SWT hanya akan menerima amalan-amalan yang
dilkukan ikhlas semata-mata untukNya dan yang bertujuan untuk
mendapatkan redhaNya sahaja. (HR Nasa’i)
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah dipinta untuk
mendoakan keburukan kepada orang-orang Musyrik. Maka Baginda SAW telah
bersabda: Aku tidak diutus sebagai seorang pelaknat, aku diutus hanya
sebagai rahmat. (HR Muslim)
Hazrat Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Hanyasanya
perkara-perkara yang membinasakan ialah sifat kikir yang dituruti, hawa
nafsu yang dilayani dan orang yang menganggap dirinya baik. (HR Bazzar,
Baihaqi, Targhib)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Barang siapa yang keluar dijalan Allah SWT walau untuk satu
petang, maka sebanyak mana debu yang melekat padanya, dia akan diberi
kasturi sebanyak itu dihari kiamat nanti. (HR Ibnu Majah)
Dari Jabir r.a berkata bahawa para sahabat telah berkata: ya Rasulullah!
Anak-anak panah khabilah Thaqif telah memusnahkan kita, Tuan doakan
keburukan terhadap mereka. Baginda SAW bersabda: Ya Allah! Berilah
hidayah kepada kabilah Thaqif! (HR Tirmizi)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Alllah
akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat. (HR Ibn Hibban)
Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Tiada satu tegukan yang ditelan oleh seorang hamba yang
disukai oleh Allah daripada satu tegukan marah. Dia menelan kemarahan
semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. (HR Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda rasulullah SAW
bersabda: Seorang yang kuat itu bukanlah orang yang dapat
membalas(pukulan lawannya) tetapi seorang yang kuat itu ialah dia yang
dapat mengawal diri dan perasaannya dengan baik ketika marah. (HR
Bukhari)
Hazrat Abdullah bin Qais Al Khuza’i r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah
SAW bersabda: Barangsiapa berdiri dengan penuh perasaan riak dan sum’ah
(suka dipuji-puji), dia sentiasa di dalam kemurkaan Allah SWT sehingga
dia duduk (dan meninggalkan niatnya itu). (Tafsir Ibnu Kathir)
Dari Jabir r.a berkata: Aku mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda:
Syaitan merasa kecewa kerana tidak dapat menukar akidah orang-orang
semenanjung Arab tetapi tidak merasa kecewa untuk menyebarkan fitnah,
perbalahan dan perpecahan dikalangan mereka. (HR Muslim)
Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang
menunjuk sesuatau kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama
sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang
yang menolong seseorang dalam kesukaran. (HR Bazzar dan Targhib)
Dari Ibnu ‘Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Bukanlah dari kalangan pengikut kami, yang tidak berkasih sayang kepada
yang kecil dikalangan kami, yang tidak menghormati yang tua dikalangan
kami, yang tidak menyuruh akan kebaikan, yang tidak melarang dari
kejahatan. (HR Tirmizi)
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barang siapa yang datang berjumpa Allah SWT dalam keadaan tubuh badannya
tidak mempunyai langsung tanda berjihad, maka dia akan bertemu Allah
SWT dalam keadaan dirinya yakni agamanya ada cacat cela. (HR Abu Daud)
Dari Abdullah Ibnu Mas’ud r.a telah berkata bahawa ada seorang telah
bertanya kepada Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling afdhal?
Baginda SAW telah menjawab: Menunaikan sembahyang pada waktunya,
berbakti kepada kedua ibubapa dan berjihad di jalan Allah SWT. (HR
Bukhari)
Dari Abu Umamah Al-Bahiliy r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah naka Allah akan
meletakkan diantaranya dan neraka satu pemidang yang besarnya adalah
jarak diantara bumi dan langit. (HR Tirmizi)
Dari Uthman bin Affan r.a berkata bahawa akau mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Berkawal satu malam di jalan Allah SWT adalah lebih baik dari
seribu malam yang dihabiskan waktu malam itu dengan berdiri beribadat
dan siangnya dihabisi dengan berpuasa. (HR Musnad Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Perbaharuilah iman kamu. Para Sahabat bertanya; Wahai Rasulullah SAW
bagaimana kami memperbaharui iman kami? Baginda SAW bersabda:
Perbanyakkanlah mengucap kalimah La ilaha illallah. (HR Ahmad, Tabrani
dan at-Targhib)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa mencintai seseorang kerana Allah, dan membenci kerana Allah
SWT, memberi kerana Allah SWT dan menarik pemberian juga kerana Allah
SWT, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan imannya. (HR Abu Daud)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Sangat beruntung sekali orang yang beriman kepadaku dan pernah melihatku
(sekali). Sungguh beruntung sekali orang yang beriman kepadaku dan
belum pernah melihatku (sehingga tujuh kali). (HR Ahmad)
Dari Arfajah bin Syurah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Tangan Allah di atas jemaah. Yakni pertolongan Allah yang
khusus adalah bersama jemaah. Kerana ini, sesiapa yang berpisah dari
jemaah, maka syaitan bersamanya dan sentiasa cuba menyesatkannya. (HR
Nasa’i)
Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Bermudah-mudahlah dengan orang ramai, dan jangan menyusah-nyusahkan
mereka. Berilah berita-berita gembira dan jangan datangkan rasa benci.
(HR Bukhari)
Dari Fadholah bin Ubaid r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Amalan yang paling menghampirkan seseorang itu kepada Allah
SWT ialah jihad di jalan Allah. Dalam perkara penghampiran diri kepada
Allah SWT tidak ada satu amalan pun yang hampir menyamai jihad. (HR
Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Orang yang sentiasa berulang-alik ke masjid di dalam kegelapan
malam mereka itulah orang yang hati sanubarinya tenggelam di dalam
rahmat Allah. (HR Ibn Majah)
Dari Buraidah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Berilah berita gembira kepada mereka yang pergi ke masjid selalu di
waktu gelap gelita dengan cahaya yang sempurna pada hari Hisab nanti.
(HR Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Aku
mahu untuk menyuruh beberapa orang pemuda mengumpulkan seberkas
kayu-kayu api dan pergi ke rumah orang-orang yang bersembahyang di rumah
masing-masing tanpa uzur syarie dan membakarnya. (HR Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa yang memenuhkan saf-saf, Allah SWT akan
meninggikan darjatnya dan Para malaikat akan meliputi mereka dengan
rahmat dan kebaikan. (HR Tabrani, Targhib)
Dari Aisyah r.ha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah
Taala menurunkan rahmat ke atas orang-orang yang memenuhkan saf-saf yang
kosong dan para malaikat memohon keampunan untuknya. (HR Mustadrak
Hakim)
Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Wahai
ahli-ahli Al-Quran! Bersembahyang witirlah kamu, kerana sesungguhnya
Allah itu witir dan menyukai orang-orang yang sembahyang witir. (HR Abu
Daud)
Dari Naufal bin Mu’awiyah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa terluput sembahyangnya adalah seumpama dia
kehilangan ahli keluarganya, hartanya dan segala kekayaannya. (HR Ibn
Hibban)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Jikalau manusia mengetahui apa ganjaran azan dan berada di saf yang
pertama dan tidak ada jalan lain untuk memperolehi azan dan di saf yang
pertama kecuali dengan cara mengundi, nescaya mereka berundi. (HR
Bukhari)
Dari Abu Zar r.a berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang ruku’ dengan sekali ruku’ dan sujud dengan sekali
sujud, maka akan diangkatkan darjatnya satu darjat dan akan diampunkan
satu dosanya. (HR Musnad Ahmad, Bazzar, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Selain dari mengingati Allah SWT, janganlah banyak bercakap,
kerana itu punca kerasnya (dan matinya) hati, dan diantara manusia,
manusia yang paling jauh dari Allah SWT ialah dia yang keras hatinya.
(HR Tirmizi)
Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Jika seseorang hamba bercakap bohong, maka kerana kebusukan
bercakap bohong itu malaikat akan menjauhinya satu batu. (HR Tirmizi)
Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa setiap sesuatu telah ditulis dengan Qadar (takdir) sehingga
kebodohan dan kelemahan atau kecerdikan dan kepandaian seseorang. (HR
Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa berpegang dengan sunnah-sunnahku ketika dizaman
rosaknya ummatku baginya adalah ganjaran syahid (di jalan Allah). (HR
Tabrani)
Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu sehingga
keinginan hawa nafsu kamu tidak mengikuti agama yang aku bawa. (HR
Al-Baghawi)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila
Allah menciptakan makhlukNya lantas ditulis di Lauh Mahfuz, Sesungguhnya
rahmatKu lebih besar daripada kemurkaanKu. Tulisan ini berada di atas
Arash dihadapan mereka. (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Pada hari
Kiamat bumi akan berada didalam genggaman Allah SWT dan langit berada
disebelah kananNya kemudian berfirman; Akulah Raja, dimanakah raja bumi
hari ini? (HR Bukhari)
Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir
kepadaku pada hari Kiamat ialah orang yang baik akhlaknya. (HR Tirmizi)
Dari Umar Ibnu Khattab r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa yang mati dalam keadaan beriman kepada Allah SWT
dan hari Akhirat, akan dikatakan kepadanya masuklah ke dalam syurga
daripada mana-mana lapan pintu syurga yang kamu kehendaki. (HR Ahmad)
Dari Abu Zar Al-Ghifari r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Tiada sesuatu pun yang lebih mendekatkan diri kepada Allah, kecuali
dari perkataan yang asal yang keluarnya daripada Allah, yakni Al-Quran.
(HR Mustadrak Hakim)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa pergi ke masjid untuk memepelajari ilmu dan kebaikan atau
mengajarkan orang lain akan mendapat ganjaran haji yang sempurna. (HR
Tabrani)
Dari Zainab binti Jahsh r.ha berkata bahawa aku telah bertanya kepada
Rasulullah SAW: Ya Rasulullah!, Adakah kami akan binasa, walaupun
didalam lingkungan kami masih ada orang-orang yang soleh? Baginda SAW
telah bersabda: Ya!, jika kejahatan berleluasa. (HR Bukhari)
Hazrat Anas r.anhu meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya antara alamat hari Kiamat ialah, ilmu akan diangkat,
kejahilan berleluasa dan minum arak secara terbuka, tersebarnya
perzinaan. (HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa pergi ke masjid di waktu pagi dan petang Allah SWT
akan menyiapkan hidangan sebagai tetamuNya di dalam syurga. Setiap kali
dia datang pagi atau petang dia akan dilayaniNya sebagai tetamuNya. (HR
Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Tempat yang paling dicintai Allah SWT diatas muka bumi ialah
masjid dan tempat yang paling dibenci ialah pasar-pasar. (HR Muslim)
Dari Aishah r.ha meriwayatkan bahawa baginda Nabi SAW bersabda: Dua
rakaat sembahyang yang didirikan dengan bersugi gigi adalah lebih baik
daripada tujuh puluh rakaat sembahyang tanpa bersugi. (HR Bazzar, Majma
uz Zawaid)
Dari Uthman ibn Affan r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa berwudhuk dengan sebaik-baik wudhuk, yakni dengan menjaga
sunat-sunatnya dan adab-adabnya, maka akan keluar dosa-dosanya daripada
badannya sehingga akan keluar daripada bawah-bawah kukunya. (HR Muslim)
Dari Abu Darda meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Orang yang
memohon laknat tidak akan diterima sebagai pemberi syafaat (bagi para
pendosa) maupun sebagai saksi (atas dakwah para nabi Allah) pada hari
kiamat. (HR Muslim)
Dari Abu Zar r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang memanggil seorang sebagai: Hai si Kafir! atau Hai musuh
Allah!, tetapi orang itu tidak sebagaimana yang dipanggil, maka
ucapannya akan kembali kepada yang mengatakan demikian. (HR Muslim)
Dari Bara’ ibnu ‘Azib r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Riba yang paling buruk adalah mencemarkan seorang saudara
(muslim) (supaya merosakkan kehormatannya dengan cara mengumpat,
memandang rendah). (HR Tabrani dan Jami-us Saghir)
Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Orang yang mencaci maki orang Islam adalah hampir kepada
kehancuran dan membinasakan (dirinya). (HR Tabrani dan Jami-us Saghir)
Hazrat Anas r.anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa memelihara dua nak perempuan dengan baik, dia dan aku akan
bersama di dalam syurga seperti dua anak jari ini. Sambil berkata
demikian baginda mengisyaratkan (dengan merapatkan) dua anak jarinya.
(HR Tirmizi)
Dari Aghar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya aku bertaubat
kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali. (HR Muslim)
Dari Abdullah bin Amr r.a berkata: Aku bertanya; Wahai Rasulullah!
Apakah ganjaran majlis zikrullah. Baginda SAW menjawab: Ganjaran bagi
majlis zikrullah adalah syurga, adalah syurga. (HR Musnad Ahmad,
Tabrani, Majma Uz Zawaid)
Hazrat Zubair r.anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang ingin melihat buku catitan amalannya dengan gembira
(pada hari Kiamat), maka hendaklah dia perbanyakkanlah istighfar. (HR
Tabrani)
Dari Aishah r.ha berkata: Aku mendengar bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Sesungguhnya seorang mukmin yang berakhlak mulia memperolehi
darjat seorang yang berpuasa dan beribadat sepanjang malam. (HR Abu
Daud)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa mahu supaya doanya dikabulkan ketika dalam keadaan
kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam
kesenangan. (HR Tirmizi)
Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda
kepadanya: Lihatlah! Sesungguhnya kamu bukanlah dari orang yang terbaik
disebabkan kamu berkulit putih tetapi kamu akan menjadi terbaik
disebabkan takwa kepada Allah SWT. (HR Musnad Ahmad)
Dari Ubadah bin Samit r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bukan daripada ummatku barangsiapa tidak menghormati orang yang lebih
tua, tidak menunjukkan kasih sayang kepada orang yang lebih muda dan
tidak memuliakan alim ulama. (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz
Zawaid)
Dari Muhammad bin Amr bin Hazm r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW
bersabda: Seorang mukmin yang menggembirakan dan menasihati supaya sabar
kepada saudaranya yang mukmin yang dalam kesusahan, Allah SWT akan
memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari penghisaban. (HR Ibnu
Majah)
Dari Rafi Ibn Khudaij r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Apabila Allah SWT mengasihi seseorang manusia, Dia
melindunginya daripada tipuan dunia sebagaimana melindungi
pesakit-pesakit kamu daripada terkena air. (HR Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Nabi SAW
bersabda: Barangsiapa membaca seratus kali pagi dan seratus kali petang:
Subhanallahi Wa Bihamdihi, akan diampunkan dosa-dosanya walaupun
sebagaimana buih-buih dilautan. (Hadith Sahih oleh Hakim)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku sepuluh kali diwaktu pagi,
sepuluh kali diwaktu petang, maka dia akan mendapat syafaatku pada hari
Kiamat. (HR Tabarani dan Majma uz Zawaid)
Dari Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Mintalah kepada Allah akan kurniaan-kurniaanNya. Sesungguhnya Allah amat
suka apabila diminta. Dan sebaik-baik ibadah ialah memohon kelapangan.
(HR Tirmizi)
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Orang yang paling hampir kepadaku pada hari Kiamat kelak ialah
orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (HR Tirmizi)
Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa berselawat keatasku sekali Allah akan berselawat keatasnya
sepuluh kali dan akan dituliskan baginya sepuluh kebaikan. (HR Tirmizi)
Dari Abu Bakar As-Siddiq r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa selalu beristighfar kepada Allah, dia tidak akan
digolongkan dikalangan orang yang melakukan dosa walaupun dalam sehari
dia melakukan tujuh puluh dosa. (HR Abu Daud)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa berzikir kepada Allah dan kerana ketakutannya
kepada Allah mengalir air matanya hingga jatuh ke bumi, Allah SWT tidak
akan mengazabnya pada hari Kiamat. (HR Hakim)
Dari Ibnu ‘Abbas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya orang-orang yang tiada sesuatu daripada (penghafalan)
Al-Quran di dalam dadanya adalah seperti rumah yang ditinggalkan kosong.
(HR Tirmizi)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: apabila kamu melintasi taman-taman syurga maka nikmatilah
keindahannya. Para sahabat bertanya apakah taman-taman syurga itu wahai
Rasulullah? Baginda SAW menjawab: Majlis-majlis zikrullah. (HR Tirmizi)
Dari Abu Said Al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Ramai diantara orang yang berada ditempat tidur yang empuk
sibuk berzikir kepada Allah dengan berkat zikirnya dimasukkan ke dalam
syurga yang tinggi darjatnya. (HR Abu Ya’la, Majma uz Zawaid)
Dari Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Penghuni syurga (selepas memasuki syurga) tidak akan menyesal kecuali
pada satu masa yang mereka lalui dahulu tidak berzikir kepada Allah. (HR
Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Aku akan sentiasa bersama
hambaku selagimana dia mengingatiKu dan bibirnya sentiasa bergerak
mengingatiKu. (HR Ibnu Majah)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah amat meredhai seorang hambaNya yang makan sesuap
makanan dan bersyukur kepada Allah atau seorang yang meminum seteguk air
lalu bersyukur kepadaNya. (HR Muslim)
Dari Ibnu ‘Abbas r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa yang beristiqamah dalam beristighfar, Allah akan
memberi jalan keluar dari setiap kesempitan, menghindarkan dari setiap
kecemasan dan memberi rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka.
(HR Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW:
Berdoalah kamu kepada Allah dengan penuh yakin bahawa doa kamu diterima.
Ketahuilah! Bahawasanya Allah tidak akan menerima doa seseorang yang
hatinya lalai (ketika berdoa). Mengingati yang lain selain daripada
Allah. (HR Tirmizi)
Dari Abi Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya orang yang paling hampir di sisi Allah ialah mereka yang
terlebih dahulu memberi salam (diantara mereka). (HR Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w, sabdanya: Setepat-tepatnya
kalimat yang diucapkan oleh seseorang syair ialah ucapan Labid yang
ertinya: Ingatlah, semua benda yang selain Allah adalah batil atau rosak
dan tidak kekal. (Muttafaq ‘alaih)
Dari Ubadah bin Samit r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa yang beristighfar untuk orang-orang Islam, lelaki
dan perempuan, maka Allah SWT akan menuliskan ganjaran baginya, bagi
setiap lelaki dan perempuan mukmin itu dengan satu kebaikan. (HR
Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Sebatang pokok sering memberi kesusahan kepada (lalu lintas)
orang-orang Islam, lalu datang seorang lelaki menebangnya. Allah
memasukkannya ke dalam syurga. (HR Muslim)
Dari Amir Ibn Shuib r.a dari bapanya dari datuknya meriwayatkan bahawa
baginda Rasulullah SAW bersabda: Bermulanya islah(pembentukan) bagi
ummat ini ialah Iman dan Yakin yang sempurna. Dan bermulanya kerosakan
bagi ummat ini ialah disebabkan bakhil dan panjang angan-angan. (HR
Baihaqi)
Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa yang diberi kebaikan oleh Allah SWT ke atas
seorang hambaNya maka akan diberi faham dalam agama dan mengilhamkan
didalam hatinya perkara-perkara yang benar. (HR Bazzar, Tabrani)
Dari Ibnu ‘Abbas r.huma meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Orang yang pertama sekali akan dipanggil untuk memasuki syurga
ialah orang yang sentiasa berzikir memuji-muji Allah dalam keadaan
senang atau susah. (HR Hakim)
Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah
dengan orang yang tidak berzikir kepada Allah adalah sepertimana orang
yang hidup dengan orang yang mati. (HR Bukhari dan Muslim)
Dari Abdullah bin Busrin r.a meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki
berkata kepada baginda Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, Sesungguhnya
syariat Islam telah banyak (yang semestinya kami amalkan tetapi)
berikanlah kepadaku satu amal supaya tetap menjadi amalanku. Baginda SAW
bersabda: Janganlah putus-putus lidah kamu basah dari mengingati Allah
SWT. (HR Tirmizi)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak melihat rupa paras dan harta-harta
kamu, Akan tetapi Allah Ta’ala melihat hati kamu dan amalan-amalan kamu.
(HR Muslim)
Dari ‘Atta bin Abdullah Khurasani r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Berjabat tanganlah di antara kamu kerana ia akan menghapuskan
kebencian dan berilah hadiah diantara satu sama lain kerana ia akan
menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan. (HR Muwatta’ Imam
Malik)
Dari Abdullah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Seorang
muslim adalah seorang yang tidak menyakiti muslim yang lain dengan
lidah atau dengan tangannya dan seorang muhajir adalah seorang yang
meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah. (HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ruh
seorang mukmin akan tergantung (tidak sampai ke tempat yang penuh dengan
kerehatan yang dijanjikan untuk orang-orang yang beriman) selagi
hutang-hutangnya tidak dibayar. (HR Tirmizi)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa mahu supaya rezekinya ditambah dan umurnya dipanjangkan,
hendaklah dia menghubungkan silaturrahmi di antara saudara-saudaranya .
(HR Bukhari)
Dari Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa memalukan saudaranya yang muslim dengan sesuatu dosa yang
dia telah bertaubat dengannya, Allah tidak akan mematikannya sehinggalah
dia sendiri terjerumus ke dalam dosa tersebut. (HR Tirmizi)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Alamat munafik itu ada tiga: Apabila bercakap dia bohong. Apabila
berjanji dia tidak menepatinya dan apabila diberinya amanah dia khianat.
(HR Muslim)
Hazrat Suhail r.anhu berkata bahawa ia mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Berdirinya salah seorang dari kalian sesaat dijalan Allah SWT
adalah lebih baik daripada segala amalan kebaikan yang dilakukan
sepanjang hayat di keluarganya (rumahnya). (HR Tirmizi)
Dari Abu Umamah r.a berkata bahawa seorang telah bertanya: Ya
Rasulullah! Izinkan aku untuk berkelana. Maka Rasulullah SAW telah
bersabda: Kelana umatku ialah berjihad di jalan Allah SWT. (HR Abu Daud)
Dari Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Bagi setiap nabi ada cara rohbaniahnya (meninggalkan dunia dan
keseronokannya). Rohbaniah umatku ialah berjihad di jalan Allah SWT. (HR
Ahmad)
Dari Abdullah ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW dan keluarga
baginda bermalam dalam keadaan perut yang kosong (kerana ketiadaan
makanan) selama beberapa malam berturut-turut. Mereka tidak mempunyai
makanan malam. Makanan mereka secara umumnya adalah roti barli. (HR
Tirmizi)
Dari Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa Rasulullah SAW memegang bahuku
(untuk menarik perhatianku kepada perkara yang penting ini) lalu
bersabda: Hiduplah kamu di dunia ini seperti musafir atau sebagai orang
yang sedang melintasi jalan. (HR Bukhari)
Dari Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa yang sakit kepala dijalan Allah SWT dan berniat untuk
mendapatkan pahala, maka segala dosanya yang terdahulu akan diampunkan.
(HR Tabrani)
Dari Thauban r.a meriwayatkan bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Berbahagialah orang-orang yang ikhlas. Mereka adalah pelita di
dalam gelap dan kerana mereka terpadam fitnah-fitnah yang besar. (HR
Baihaqi)
Dari Saad r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Allah SWT
memberi pertolongan kepada umat ini (bukan berdasarkan kepada keupayaan
bahkan) Allah SWT memberinya pertolongan kerana do’a-do’a,
sembahyang-sembahyang dan keikhlasan orang-orang yang lemah. (HR Nasa’i)
Dari Muawiyah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya aku adalah seorang utusan dan Allah yang memberi hidayah,
dan aku hanyalah seorang yang membahagi-bahagi dan Allah adalah zat yang
memberi. (HR Tabrani)
Dari Umar bin Khattab r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Yang paling aku takutkan terhadap ummatku ialah si munafiq
(orang fasiq yang riya’) yang pandai pada lidah (bercakap
perkara-perkara keilmuan tetapi dirinya kosong dari iman dan amal). (HR
Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a berkata meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Sesiapa yang untuk menghasilkan dunia telah mempelajari suatu
ilmu uyang sepatutnya dipelajari untuk mendapatkan redha Allah SWT, dia
pada hari Kiamat nanti tidak akan mencium walaupun bau syurga. (HR Abu
Daud)
Dari Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Dua
serigala kelaparan yang dilepaskan pada satu kumpulan kambing tidak
mampu memudaratkannya lebih dari kemudharatan pada Agama yang dilakukan
oleh sifat tamakkan harta dan keinginan untuk menjadi orang yang
berpengaruh. (HR Tirmizi)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika
meriwayatkan satu hadis Qudsi telah bersabda: Wahai anak Adam!, Jika
engkau terus bersabar (bilamana hilangnya sesuatu dari dirimu) dan
engkau terus harapkan pahala, maka aku tidak rela membalasimu dengan
balasan yang lebih rendah dari syurga. (HR Ibnu Majah)
Hadhrat Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Sesiapa yang telah mengatakan dengan lidahnya suatu perkara yg
benar, yang diamalkan selepas itu, maka Allah SWT akan menjalankan
pahalanya sehingga Kiamat, dan di hari kiamat nanti Allah SWT akan
menganugerahkan pahala yang sempurna. (HR Musnad Ahmad)
Dari Abu Razin r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Tidakkah aku khabarkan kepadamu beberapa perkara asas yang mana kamu
akan mendapat kebaikan didunia dan akhirat? Hendaklah kamu duduk didalam
majlis-majlis ahli zikir, dan apabila kamu bersunyi diri hendaklah kamu
menggerakkan lidah kamu setakat mana yang kamu mampu untuk
berzikrullah. (HR Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a dan Abu Said Al-Khudri r.a keduanya bersaksi
bahawa Nabi SAW bersabda: Tidaklah satu kelompok yang duduk mengingati
Allah kecuali para malaikat menaungi mereka dengan sayap-sayapnya, dan
rahmat Allah meliputi mereka, sakinah turun ke atas mereka dan Allah
menyebut mereka dalam majlis para malaikat. (HR Muslim)
Dari Syaddad bin Aus r.a berkata: Aku telah mendengar RAsulullah SAW
bersabda; Sesiapa bersembahyang untuk menunjuk-nunjuk, dia telah
melakukan syirik. Sesiapa yang berpuasa untuk menunjuk-nunjuk, dia telah
melakukan syirik. Sesiapa yang bersedekah untuk menunjuk-nunjuk, dia
telah melakukan syirik. (HR Musnad Ahmad)
Dari Anas r.a, katanya: Nabi SAW menggariskan beberapa garis, lalu
Baginda bersabda: Ini adalah angan-angan manusia sedang ini adalah
ajalnya. Kemudian di waktu orang itu sedang dalam keadaan sedemikian
yakni angan-angannya masih tetap panjang dan membumbung tinggi,
tiba-tiba datanglah garis yang terpendek yakni garis yang memotongnya
iaitu kematian. (HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Jika seseorang telah berkata: Telah binasa manusia, maka dialah yang
paling binasa diantara mereka (kerana dengan mengatakan demikian itu dia
terjerumus di dalam dosa takabur disebabkan dia menganggap orang lain
hina). (HR Muslim)
Dari Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW
meriwayatkan sebuah hadith qudsi: Allah Azza waJalla berfirman:
Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan
kemuliaanKu akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari kiamat,
(bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka. (HR
Tirmizi)
Dari Abu Umamah Bahili r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
telah bersabda: Sesiapa yang mukanya telah berlumuran debu di jalan
Allah SWT, pada hari kiamat nanti Allah SWT akan memelihara muka itu
dari api neraka. Dan sesiapa yang kedua-dua belah kakinya telah
berlumuran debu di jalan Allah SWT, Allah SWT akan memelihara kakinya
dari api neraka. (HR Baihaqi)
Dari Hadrat Huzaifah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Apa sahaja kekurangan atau dosa yang berlaku pada seseorang
dalam menunaikan hukum hakam yang berkaitan dengan isterinya, hartanya,
anak-anaknya, atau jirannya akan dikaffarahkan oleh sembahyang, sedekah,
amar-bilma’ruf dan nahi ‘anil-mungkarnya. (HR Bukhari)
Dari Abdullah r.a berkata: Seolah-olah aku sedang melihat Rasulullah SAW
menceritakan peristiwa seorang nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga
berlumuran darah, beliau menyapu darah dari mukanya dan berkata: Wahai
Allah! Ampunilah kaumku, kerana mereka tidak tahu. (Peristiwa seumpama
ini berlaku kepada Nabi SAW sendiri ketika peperangan Uhud berlaku. (HR
Bukhari)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Mahukah daku khabarkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada puasa,
sembahyang dan sedekah? Para sahabat r.hum berkata: Bahkan ya
Rasulullah! Baginda Rasulullah SAW bersabda: Bersatu (hati) adalah lebih
baik kerana perselisihan dan perbalahan akan menghapuskan agama. (HR
Tirmizi)
Dari Jabir bin Abdullah r.a berkata; Aku mendengar baginda Rasulullah
SAW bersabda: Barang siapa bertemu Allah dalam keadaan tidak
menyengutukan sesuatu selain daripada Allah akan memasuki syurga. Dan
barangsiapa bertemu Allah dalam keadaan dia menyengutukan sesuatu
denganNya memasuki neraka. (HR Muslim)
Dari Abu Umamah r.a berkata seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah
SAW: Wahai Pesuruh Allah! Apakah itu iman? Baginda SAW menjawab: Apabila
kamu berasa gembira dengan amal kebaikanmu dan kamu merasa benci dengan
amal keburukanmu, maka kamu adalah seorang yang beriman (mukmin). (HR
Al-Hakim)
Dari Umar ibn Khattab r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya
Allah akan memberi rezeki sebagaimana memberi rezeki kepada
burung-burung. Mereka pergi dipagi hari dengan perut kosong dan kembali
pada waktu petang dengan perut yang kenyang. (HR Tirmizi)
Hadzrat Talhah ibnu Ubaidullah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang mana barangsiapa
membacanya ketika hampir matinya, kecuali mendapati ruhnya amat tenang
keluar dari pada jasadnya dan kelak akan menjadi nur baginya pada hari
Qiamat. (Kalimah itu ialah La ilaha illallah). (HR Abu Ya’la, Majma uz
Zawaid)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Iman
itu lebih daripada 70 cabang, yang terbaik daripadanya ialah mengucapkan
La ilaha illallah (Tiada tuhan yang patut disembah kecuali Allah SWT)
dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti di tengah
jalan, dan malu itu satu cabang daripada iman. (HR Muslim)
Dari Anas ibn Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Aku
berkeinginan untuk bertemu dengan saudara-saudaraku. Para sahabat
berkata, Tidakkah kami ini saudara-saudara tuan? Baginda SAW menjawab:
Kamu adalah sahabatku, tetapi saudara-saudaraku ialah orang-orang yang
beriman kepadaku, walaupun mereka tidak melihat aku. (HR Ahmad)
Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘As r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa memberi makan saudaranya sehingga kenyang dan
memberi minum sehingga hilang dahaga, maka Allah SWT akan menjauhkannya
dari api neraka jahanam sejauh dua parit. Dan jarak antara dua khandak
(parit) adalah sejauh perjalanan lima ratus tahun. (HR Hakim)
Dari Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Allah SWT
memberi sepenuh perhatian kepada seluruh makhlukNya pada malam 15
Sya’ban dan mengampuni seluruh makhlukNya kecuali dua jenis manusia
iaitu mereka yang melakukan syirik kepada Allah dan orang yang ada sifat
membenci seseorang dalam hatinya. (HR Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah
ditanya bahawa amalan yang manakah dengannya ramai manusia akan memasuki
syurga? Sabda Baginda SAW: Takwa (takutkan Allah SWT) dan akhlak yang
mulia. Dan Baginda SAW ditanya: Amalan apakah yang dengannya ramai
manusia akan ke neraka? Lidah dan kemaluan (yang disalah guna). (HR
Tirmizi)
Dari Ibnu Abbas r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW datang kepada
dua kubur dan bersabda: Penghuni dari kedua kubur ini sedang disiksa
tetapi bukan kerana dosa besar (yang susah untuk dihindari). Yang
pertama kerana tidak menjaga dirinya dari percikan kencing dan
sebahagian yang lain disiksa kerana sentiasa memfitnah. (HR Bukhari)
Dari Abu Bazah Aslami r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Wahai orang-orang yang hanya Islam dilidah dan belum beriman di dalam
hati! Janganlah mengumpat orang-orang Islam dan janganlah sibuk mencari
keburukannya. Barangsiapa yang sibuk mencari kesalahan orang Islam,
Allah akan menzahirkan keburukannya sehingga di dalam rumahnya sendiri.
(HR Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Perumpamaan orang yang keluar berjihad di jalan Allah SWT adalah
seperti seseorang yang berpuasa dan membaca Al-Quran di dalam sembahyang
sepanjang malam dan dia berterusan sibuk dengan berpuasa dan bersedekah
sehingga mujahid di jalan Allah SWT itu pulang ke rumahnya. (HR Ibn
Hibban)
Dari Uthman bin Affan r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
apabila selesai mengkebumikan mayat akan berdiri ditepi perkuburan dan
berkata berdoalah untuk saudara kamu ini, memohonlah supaya Allah
meneguhkan hatinya (dalam menjawab soalan) kerana sekarang dia sedang
ditanya. (HR Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa; Aku Rasulullah SAW bersabda:
Umatku pada hari Kiamat akan dipanggil dalam keadaan tangan, kaki dan
mukanya bercahaya-cahaya dari kesan basuhan air wudhu’. Oleh itu
barangsiapa yang mahu supaya bertambahnya cahaya, dengan menyempurnakan
basuhannya maka lakukanlah. (HR Bukhari)
Dari Abu Qatadah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri dalam
sembahyangnya. Para Sahabat bertanya: Ya Rasulullah bagaimana mereka
mencuri di dalam sembahyang? Baginda menjawab: mereka yang tidak ruku
dan sujud dengan sempurna (dalam sembahyangnya). (HR Ahmad)
Dari Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Lakukan solah seumpama solah perpisahan (sebagaimana seorang
yang akan berpisah yakni solah kamu yang terakhir), dan seolah-olah kamu
melihat Allah, dan sekiranya kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia
melihat kamu. (HR Ibnu Najar dalam Jami’us Saghir)
Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Perhatian
Allah Taala kepada seseorang ketika sembahyang itu akan kekal selagi
mana dia bertawajuh di dalam sembahyangnya. Apabila seorang hamba itu
memalingkan tawajuhnya daripada sembahyangnya, maka Allah juga akan
memalingkan perhatianNya terhadapnya. (HR Nasai)
Dari Uqbah ibn Amir Al Juhaniy r.a meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa sahaja dari kalangan orang Islam yang
berwudhuk dengan sempurna kemudian mendirikan sembahyang dengan penuh
tawajuh yakni dia mengetahui apa yang dibacanya sehinggalah
sembahyangnya selesai, Allah akan mengampuni segala dosanya sebagaimana
dia baru dilahirkan dari perut ibunya. (HR Hakim)
Dari Ubadah ibn Samit r.a sesungguhnya dia mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Tidaklah seorang hamba yang selalu bersujud kepada Allah,
kecuali setiap sujud Allah mencatit satu kebaikan baginya dan
menghapuskan satu dosa dan mengangkat satu darjat. Maka perbanyakkanlah
sujud (kepada Allah dengan mengerjakan sembahyang). (HR Ibn Majah)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Apabila imam membaca Ghairil maghdhuubi alaihim waladhalliin, maka
hendaklah kamu membaca amiin kerana sesungguhnya barangsiapa yang
aminnya menyamai dengan amiin para malaikat, maka akan diampunkan segala
dosa-dosanya yang lalu. (HR Bukhari)
Hazrat Abu Umamah al Bahili r.anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Kamu mesti melakukan solah tahajjud kerana ia adalah kebiasaan
orang-orang soleh sebelum kamu dan ia mendekatkan (kedudukan) kamu di
sisi Tuhan kamu serta menghapuskan kejahatan dan mencegah daripada
melakukan dosa-dosa. (HR Mustadrak Al Hakim)
Dari Aisyah r.ha meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang
istiqamah bersembahyang 12 rakaat, Allah akan membinakan mahligai
untuknya di dalam syurga. (12 rakaat itu ialah): 4 rakaat sebelum zohor,
2 rakaat selepas Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas
Isyak dan 2 rakaat sebelum Subuh. (HR Nasa’i)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasullullah SAW
bersabda: Tiga perkara akan mengikuti mayat. Dua akan kembali dan
tinggal yang satu. Akan mengikutinya (ke kubur) ahli keluarganya,
hartanya dan amalannya. Kemudian harta dan ahli keluarganya akan
kembali, tinggallah bersamanya amalannya. (HR Muslim)
Dari Barra ibn Azib r.a berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
Allah Taala dan para malaikatNya menurunkan rahmat ke atas orang-orang
yang berada di saf hadapan iaitu saf yang paling hampir dan para
malaikat berdoa untuknya dan tidak ada satu langkah yang lebih dicintai
oleh Allah, daripada langkah orang yang memenuhkan saf yang kosong. (HR
Abu Daud)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Bagi setiap
sesuatu itu ada hakikatnya, dan tidak mencapai hakikat iman seseorang
hamba itu sehingga dia mengetahui bahawa setiap apa yang menimpanya itu
ialah satu ketetapan, bukannya datang sendiri atau perkara yang belum
terjadi itu tidak boleh berlaku. (HR Tabrani, Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Diantara mereka yang sangat mencintaiku ialah orang-orang yang datang
selepasku. Mereka menyesal alangkah baiknya dapat melihatku walaupun
terpaksa membelanjakan rumah, segala hartanya dan ahli keluarganya
(dikorbankan supaya dapat melihatku). (HR Muslim)
Dari Shaddad ibn Aus r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa menghisab
(memperbaiki) akan dirinya dan beramal dengan amalan yang akan dibawa
selepas mati. Dan orang yang bodoh itu ialah orang yang sentiasa
mengikut keinginan hawa nafsunya dan berangan-angan mendapat
(pengampunan) Allah. (HR Tirmizi)
Dari Masturid bin Syaddad r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Demi Allah tiadalah dunia ini jika dibandingkan dengan
akhirat adalah seumpama salah seorang daripada kamu yang memasukkan anak
jari ke dalam sebuah sungai dan diangkat, maka lihatlah sebanyak mana
air yang melekat di jari itu (begitu sedikit) begitulah jika
dibandingkan dengan kehidupan akhirat. (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Apabila seorang muslim menziarahi saudaranya yang sedang sakit, atau
mengunjungi saudara muslim semata-mata kerana Allah, maka seorang
malaikat berkata: Engkau dirahmati dan langkah-langkahmu diberkati dan
engkau telah membina sebuah tempat tinggal di dalam syurga. (HR Tirmizi)
Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang
mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang
yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik di
antara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada
orang lain. (HR Dar Qutni dan Targhib)
Dari Abdullah Ibn Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan
dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah
orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang
dan baik hati. (HR Tirmizi)
Dari Ibnu ‘Abbas r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah
lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf
sehari di jalan Allah SWT akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga
parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit. (HR Tabrani
dan Majma uz Zawaid)
Dari Tsauban r.a, seorang hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang
mengunjungi seorang yang sakit, dia akan diam di Khurfah dalam syurga.
Ditanyakan; Wahai Rasulullah! Apa itu Khurfah? Rasulullah SAW bersabda:
Buah-buahan yang dipetik dari syurga. (HR Muslim)
Dari Huzaifah bin Yaman r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Apabila seorang mukmin bertemu dengan seorang mukmin yang lain,
hendaklah dia memberi salam kepadanya dan berjabat tangan (untuk
bersalam), dosa-dosa mereka berguguran seperti daun-daun berguguran dari
pohonnya. (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)
Hazrat Iyyadh bin Khimar r.anhu dari kabilah bani Mujashik meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT telah mewahyukan kepadaku
supaya kamu semua berusaha mendapatkan sifat tawadhuk sehingga tidak
akan wujud sifat bangga di antara satu sama lain dan tidak menzalimi
orang lain. (HR Muslim)
Dari Abu Said Al-Khudri r.a dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa
baginda Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang muslim yang ditimpa
musibah, keletihan, sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang,
kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekali pun melainkan diampuni
akan dosa-dosanya. (HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa
duduk dalam satu majlis yang tidak menyebut nama Allah dan tidak
berselawat kepada Nabi SAW maka majlis itu akan menjadi sebab kerugian
pada hari Kiamat. Maka sekiranya mahu, Allah mengazab mereka dan
sekiranya mahu mengampunkan mereka. (HR Tirmizi)
Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa tidur dalam keadaan berwudhu’, malaikat akan tidur
disisinya sehingga tersentuh kulitnya. Dan apabila dia bangun malaikat
akan berkata: Wahai Allah, ampunilah orang ini kerana dia tidur dalam
keadaan berwudhu’. (HR Ibn Hibban)
Dari Salman Al-Farsi r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Sesungguhnya Allah mempunyai sifat malu, dan memberi kepada
orang yang tidak meminta dengan pemberian yang banyak. Apabila seseorang
mengangkat tangannya dihadapan Allah, memohon sesuatu, maka Allah amat
malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut dengan tangan kosong. (HR
Tirmizi)
Dari Umair Al-Ansari r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa dikalangan ummatku berselawat kepadaku dengan
ikhlas sebanyak sepuluh kali, Allah SWT akan menurunkan rahmat untuknya
sepuluh rahmat. Dan diangkat darjatnya sepuluh kali darjat, dan
dituliskan untuknya sepuluh kebaikan dan diampunkan daripadanya sepuluh
kejahatan. (HR Nasai)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Perumpamaan seorang yang mempelajari ilmu agama kemudian tidak
mengajarkan kepada orang lain adalah seperti seorang yang mengumpulkan
harta yang banyak di dalam khazanahnya tetapi tidak membelanjakannya.
(HR Tabrani)
Dari Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Janganlah kamu mempelajari ilmu agama untuk memperlihatkan
kehebatan ke atas ulama dan mempelajari ilmu untuk berhujah dengan
orang-orang yang bodoh, dan untuk menarik perhatian majlis. Barangsiapa
berbuat demikian maka tempatnya ialah didalam api neraka, api neraka.
(HR Ibn Majah)
Dari Ibn Abbas r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Empat
perkara barangsiapa mendapatinya sesungguhnya dia telah mendapat
kebaikan di dunia dan di akhirat. Hati yang sentiasa bersyukur, lidah
yang sentiasa berzikir, badan yang sentiasa bersabar dalam menangung
kesusahan, isteri yang sentiasa menjaga dari khianat pada dirinya dan
pada harta suaminya. (HR Tabrani)
Dari Abdullah ibn Mas’ud r.a berkata; Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah akan ditulis
baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan itu digandakan sepuluh kali
ganda. Aku tidak berkata alif laam miim itu satu huruf, tetapi alif satu
huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf yang berasingan. (HR
Tirmizi)
Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa memberi azan selama dua belas tahun, adalah wajib
baginya syurga dan dituliskan baginya setiap kali azan ialah sebanyak
enam puluh kebaikan, dan setiap kali iqamat akan dituliskan baginya tiga
puluh kebaikan. (HR Al-Hakim)
Dari Salman r.a meriwayatkan bahawa baginda Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa berwudhuk dirumahnya dengan sebaik-baik wudhuk kemudian
pergi ke masjid, dia adalah menjadi tetamu Allah. (Allah sebagai tuan
rumah) dan adalah menjadi tanggungjawab tuan rumah untuk memuliakan
tetamunya. (HR Tabrani)
Dari Abdullah ibn Qurtd r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Perkara pertama yang akan dihisab bagi seorang hamba pada hari
Kiamat ialah sembahyang. Sekiranya sembahyangnya baik, maka
amalan-amalan yang lain akan diterima dan jika sembahyangnya rosak, maka
semua amalan-amalan yang lain akan rosak. (HR Tabrani, Targhib)
Dari Abdullah bin Amr Ibn As r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah
SAW bersabda: Perintahkanlah anak-anakmu bersembahyang ketika berumur
tujuh tahun dan rotanilah dia jika tidak mahu bersembahyang ketika
diumur sepuluh tahun dan pisahkanlah diantara tempat tidur mereka
(antara adik beradik lelaki dan perempuannya). (HR Abu Daud)
Dari Ibn Umar r.a berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak sempurna
iman bagi orang-orang yang tidak amanah dan tidak ada sembahyang bagi
orang-orang yang tidak ada wudhuk. Dan tidak ada agama bagi orang-orang
yang tidak sembahyang. Sesungguhnya kedudukan sembahyang didalam agama,
adalah seumpama kepala kepada badan. (HR Tabrani dan Targhib)
Dari Abdullah ibn Umar r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Hanya ada dua jenis manusia yang (dibolehkan) untuk dicemburui. Seorang
yang telah Allah berikan kepadanya Al-Quran dan dia telah membacanya di
waktu siang dan malam, dan seorang lagi yang mana Allah SWT berikan
harta kekayaan dan dia telah membelanjakannya (di jalan Allah) siang dan
amalam. (HR Muslim)
Dari Asma binti Yazid r.ha berkata; Baginda Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia
tidak ada (di majlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya,
kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka
Allah Taala akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka
Jahanam. (HR Musnad Ahmad)
Dari Sahl bin Sa’ad r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Jika
dunia ini mempunyai nilai sebesar kepak nyamuk sekalipun, maka Allah SWT
tidak akan memberi minum kepada orang kafir walaupun seteguk air (oleh
kerana dunia ini tidak bernilai walaupun sekadar ini, kerana itulah
dunia ini diberi kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang berdosa
tanpa batasan. (HR Muslim)
Dari Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Aku mendengar bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa melihat kemungkaran hendaklah ia
mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, hendaklah
mencegahnya dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu juga,
hendaklah dia cegah (membenci) dalam hatinya dan ini ialah selemah-lemah
iman. (HR Muslim)
Dari Abu Bakar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Jadilah kamu seorang yang alim, atau orang yang belajar ilmu agama, atau
orang yang gemar mendengar pengajian agama dengan teliti, atau menjadi
orang yang mencintai ilmu dan ahli ilmu. Dan jangan kamu menjadi orang
yang kelima, yang mana kamu akan binasa. Kelima ialah kamu membenci ilmu
dan ahli ilmu. (HR Tabrani)
Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Sesiapa yang belajar ilmu untuk maksud lain selain dari redha
Allah SWT (umpamanya untuk mencari kemuliaan, kemasyuran harta dan
lain-lain) maka hendaklah dia menempah tempatnya di neraka Jahanam. (HR
Tirmizi)
Dari Abu Hurairah r.a bahawa aku mendengar Rasulullah SAW telah
bersabda: Perumpamaan orang yang keluar dijalan Allah SWT – dan Allahlah
yang lebih mengetahui siapa yang berjihad dijalanNya – (untuk
mendapatkan redhaNya) perumpamaannya adalah seperti dia yang berpuasa,
beribadat pada waktu malam, tunduk dihadapan Allah SWT kerana
takutkanNya, serta melakukan ruku’ dan sujud. (HR Nasa’i)
Dari ‘Ursi Ibni ’Amirah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Kerana kesalahan sebahagian manusia Allah tidak akan mengazab kesemua
orang (yang tidak terlibat di dalam kesalahan itu). Akan tetapi Allah
akan mengazab kesemua sekali, jika orang-orang yang taat walaupun mampu
melarang mereka-mereka yang engkar. (HR Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Sejahat-jahat manusia ialah seseorang yang merosakkan akhiratnya kerana
dunia orang lain. Yakni demi untuk memberi manfaat dunia kepada orang
lain, dia merosakkan akhiratnya dengan melakukan perkara yang memurkakan
Allah SWT. (HR Baihaqi)
Dari Abdullah bin ‘Amr r.huma berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW
telah bersabda: Sesiapa yang memasyhurkan amalannya kepada manusia, maka
Allah SWT akan menyampaikan kepada pendengaran makhlukNya akan amalan
riya’ ini (dan bahawa orang ini adalah seorang yang riya’) dan Allah
akan mengecilkannya pada pandangan makhluk dan menghinakannya. (HR
Tabrani, Majma uz Zawaid)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Doa seorang
muslim kepada saudaranya yang tidak hadir adalah makbul. Seorang
malaikat berada dari arah kepalanya dan apabila dia berdoa untuk
kebaikan saudaranya malaikat ini akan berkata amin dan (kepada orang
yang berdoa, malaikat berkata) semoga engkau menerima serupa (apa yang
engkau doakan untuk saudaramu). (HR Muslim)
Dari Muaz r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa menelan kemarahannya sedangkan dia berkuasa untuk membalas
kemarahannya itu, maka pada hari kiamat kelak Allah akan memanggilnya
dihadapan seluruh makhluk dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari
mana sahaja yang dia sukai. (HR Abu Daud)
Dari Abu Musa r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Allah membuka seluas-luasnya tangan RahmatNya di waktu malam bagi mereka
yang melakukan dosa disiang hari dan membuka tangan RahmatNya di waktu
siang bagi mereka yang melakukan dosa diwaktu malam supaya bertaubat
kepada Allah. (Kerahiman ini) akan terus berlaku sehinggalah matahari
terbit disebelah barat. (HR Muslim)
Dari Zaid bin Thabit r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Tiga perkara yang dengannya hati orang beriman akan suci dari sifat
khianat, dengki (dan semua keburukan): 1. Beramal untuk redha Allah SWT.
2. Inginkan kebaikan untuk para pemimpin, 3. Sentiasa bersama dengan
jemaah orang Islam. Ini kerana orang yang bersama-sama jemaah akan
dilingkungi oleh doa ahli-ahli jemaah itu. (HR Ibn Majah)
Dari Muaz ibn Anas Al-Juhaniy r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali sehingga
tamat akan dibinakan oleh Allah untuknya sebuah mahligai di dalam
syurga. Umar Ibn Khattab r.a berkata: Ya Rasulullah! Kalau begitu saya
akan membaca dengan lebih banyak lagi! Nabi SAW menjawab: Allah
sebaik-sebaik pemberi ganjaran dan lebih banyak daripada itu. (HR Musnad
Ahmad)
Dari Abu Tsabit, dalam suatu riwayat lain disebutkan Abu Said dan dalam
riwayat lain pula disebutkan Abulwalid, iaitu Sahl bin Hanif r.a, dan
dia pernah menyaksikan peperangan Badar, bahawasanya Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa yang memohonkan kepada Allah SWT supaya dimatikan syahid dan
permohonannya itu dengan secara yang sebenar-benarnya, maka Allah akan
menyampaikan orang itu ke tingkat orang-orang yang mati syahid,
sekalipun ia mati di atas tempat tidurnya. (Riwayat Muslim)
Dari Anas bin Abdul Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Ketika aku diangkat (pada malam Mi’raj) ke langit, aku
melintasi segolongan manusia yang tangannya berkuku tembaga dan mereka
mencakar muka dan dada mereka. Aku bertanya kepada Jibrail: Siapakah
mereka ini? Dia menjawab: Mereka selalu memakan daging manusia dengan
memfitnah dan mengumpat orang. (HR Abu Daud)
Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi SAW sabdanya: Sesungguhnya dunia
ini manis dan menghijau (yakni lazat dan nyaman) dan sesungguhnya Allah
itu menjadikan engkau semua sebagai pengganti di bumi itu, maka itu Dia
akan melihat apa-apa yang engkau lakukan. Oleh yang demikian, maka
takutilah harta dunia dan takutilah pula tipu daya kaum wanita. Sebab
sesungguhnya pertama-tama fitnah yang terjadi di kalangan kaum Bani
Israil adalah disebabkan kaum wanita. (Riwayat Muslim)
Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Senyuman
kepada saudaramu (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma’ruf dan
melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seorang
yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri
dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air timbamu kepada
timba saudaramu adalah sedekah. (HR Tirmizi)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Masjid ialah rumah bagi orang-orang yang bertakwa, Allah SWT telah
mengambil tanggungjawab ke atas mereka yang menjadikan masjid sebagai
rumahnya dengan: Aku akan memberi kerehatan dan rahmat kepadanya, Aku
akan mudahkan meniti titian Sirat untuknya, mendapat keredhaan Allah SWT
dan Aku akan mengurniakan syurga kepadanya. (HR Tabrani)
Dari Sa’di r.a menceritakan bahawa satu ketika kami duduk bersama-sama
Nabi SAW. Nabi SAW bersabda: Adakah salah seorang daripada kamu sanggup
melakukan kebaikan seribu kali setiap hari? Salah seorang daripada kami
yang duduk di majlis itu bertanya: Bagaimana seseorang boleh memperolehi
seribu kebaikan setiap hari? Nabi SAW bersabda: Bertasbih (Subhanallah)
seratus kali akan dituliskan ganjaran untuknya seribu kebaikan. Dan
seribu dosa akan dimaafkan. (HR Muslim)
Dari Ali r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Tidaklah seorang muslim mengunjungi seorang muslim yang sakit diwaktu
pagi kecuali 70,000 malaikat berdoa memohon rahmat ke atasnya sehingga
ke petang, atau berkunjung kepadanya di waktu petang, melainkan 70,000
malaikat berdoa ke atasnya sehingga ke pagi, dan dia mendapat sebuah
kebun buah-buahan dalam syurga. (HR Tirmizi)
Dari Zaid bin Thabit r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Tiga perkara yang dengannya hati orang beriman akan suci dari sifat
khianat, dengki (dan semua keburukan): 1. Beramal untuk redha Allah SWT,
2. Inginkan kebaikan untuk para pemimpin, 3. Sentiasa bersama dengan
jemaah orang Islam. Ini kerana orang yang bersama-sama jemaah akan
dilingkungi oleh doa ahli-ahli jemaah itu. (HR Ibnu Majah)
Dari ‘Amr bin ‘Auf r.a menukilkan sabdaan Baginda SAW bahawa: Agama pada
mulanya adalah satu perkara yang asing (dagang), kelak tidak lama lagi
ia akan kembali menjadi asing seperti mula dahulu. Kerana itu berita
gembira bagi orang-orang Islam yang kerana agama mereka dianggap sebagai
terasing, mereka itu ialah orang-orang yang membetulkan jalanKu yang
telah dirosakkan orang-orang selepasKu. (HR Tirmizi)
Dari Samurah ibn Jundab r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Di antara mereka (ahli neraka) di makan oleh api hingga sampai ke buku
lalinya dan di antara mereka ada yang dimakan oleh api hingga sampai ke
lututnya. Dan di antara mereka ada yang dimakan oleh api hingga sampai
ke pinggang mereka dan sebahagian dari mereka ada yang dimakan oleh api
sampai ke tulang dadanya. (HR Muslim)
Dari Anas r.a meriwayatkan, Aku mulai berkhidmat kepada Rasulullah SAW
ketika umurku 8 tahun. Selama 10 tahun berkhidmat dia tidak pernah
menyalahkan aku apabila berlaku kerugian (kesalahan) yang berlaku dengan
sebab tanganku. Dan jikalau seseorang daripada keluarganya menyalahkan
aku, Baginda akan bersabda: Biarkan dia, kerana sesungguhnya jikalau
sesuatu telah ditakdirkan, pasti akan terjadi! (Masabi hus Sunnah)
Dari Abu Malik Al-Ashari r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah bilik yang mana
tembus pandangan, dari dalam boleh dilihat apa yang ada diluar dan dari
luar dapat dilihat apa yang ada di dalam. Allah menyediakannya khas
untuk mereka yang memberi makan kepada fakir miskin, menghamburkan
salam, dan bersembahyang malam di mana manusia sedang nyenyak tidur. (HR
Tabrani)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Tiga manusia adalah merupakan tanggungan Allah SWT jika mereka hidup,
mereka akan diberi rezeki dan akan dibantu dalam pekerjaan yang mereka
lakukan. Dan jika mereka meninggal dunia maka Allah SWT akan memasukkan
mereka ke dalam syurga. Pertama ialah orang yang masuk kerumahnya lantas
memberi salam, kedua orang yang pergi ke masjid, ketiga orang yang
keluar dijalan Allah SWT. (HR Ibn Hibban)
Dari Mahmud bin Labidh r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Dua
benda yang mana tidak disukai oleh manusia, pertama ialah maut sedangkan
maut itu lebih baik daripada fitnah. (kerana dengan kematian manusia
akan terhindar dari fitnah yang boleh merosakkan agama). Kedua ialah
kurangnya harta, sedangkan dengan kurangnya harta sedikitlah
penghisabannya di hari akhirat kelak. (HR Musnad Ahmad, Majma uz Zawaid)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan seorang lelaki bertanya kepada
Rasulullah SAW: Bilakah akan berlaku hari Kiamat wahai Rasulullah?
Baginda Rasulullah SAW menjawab: Apakah persiapan engkau untuk hari itu?
Dia menjawab: Aku tidak ada persiapan untuk itu dengan banyak bersolat,
dan puasa sunat atau pun bersedekah, akan tetapi aku mencintai Allah
dan RasulNya. Nabi SAW bersabda: Kamu akan berada bersama dengan orang
yang kamu cintai. (HR Bukhari)
Dari Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah
SAW telah bersabda: Bilamana kamu terlalu sibuk di dalam urusan jual
beli, dan kamu memegang ekor lembu dan leka bercucuk tanam dan kamu
meninggalkan jihad, maka Allah SWT akan menimpakan ke atas kamu kehinaan
yang tidak akan terluput sehinggalh kamu kembali kepada ugamamu (yang
berjihad itu adalah sebahagian darinya). (HR Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Jikalau seseorang menghilangkan satu dari kesusahan seseorang di dunia
ini, Allah akan menghilangkan satu kesusahan darinya pada hari akhirat.
Dan jikalau seseorang menyembunyikan satu kesalahan seorang muslim,
Allah SWT akan menyembunyikan kesalahan-kesalahannya di akhirat, Allah
SWT akan tetap membantu seorang selagi dia membantu saudaranya. (HR
Musnad Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang menyertai jenazah dan mengerjakan sembahyang jenazah
akan mendapat pahala sama dengan satu qirat, dan barangsiapa yang
menyertai jenazah sehingga ke kubur akan mendapat pahala sama dua qirat.
Apabila ditanya, apa itu dua qirat. Rasulullah SAW menjawab: (Sama
dengan) dua gunung yang besar. Dalam riwayat lain, bahawa dua gunung,
yang paling kecil seperti gunung Uhud. (HR Muslim)
Dari Umar r.a berkata: Aku mendengar baginda rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa merendahkan diri kepada Allah maka Allah akan meninggikan
darjatnya. Mereka ini sentiasa melihat dirinya kecil tetapi pada
pandangan orang lain dia adalah besar. Barangsiapa berlagak sombong
Allah SWT akan menjatuhkannya dan hilang rasa hormat orang terhadapnya.
Mereka ini merasa dirinya besar, tetapi orang lain mengira dia lebih
buruk daripada anjing atau babi. (HR Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Seorang hamba mengatakan satu perkara yang diredhai dan dia merasakan
perkara itu tidak penting tapi kerananya Allah SWT akan meninggikan
darjatnya, dan seorang hamba mengatakan satu perkara yang dimurkai Allah
SWT dan dia tidak menghiraukannya, tapi kerana perkara itu dia akan
tersungkur di dalam neraka Jahanam. (HR Bukhari)
Dari ‘Ubadah bin Somit r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Berjihadlah di jalan Allah SWT kerana dia adalah merupakan satu pintu
dari pintu-pintu syurga, dengannya Allah SWT menjauhkan rasa kerisauan
dan kesedihan. Di dalam satu riwayat lain ada penambahan, pergilah
berjihad, jauh atau dekat dan dirikanlah batasan-batasan pada
orang-orang yang hampir dan pada orang-orang yang jauh. Dan berkenaan
Allah SWT jangan terkesan dari cercaan sesiapa pun. (HR Mustadrak Hakim)
Dari Sahl bin Sa’ad r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Agama ini adalah satu khazanah kenikmatan. Khazanah-khazanah nikmat ini
mempunyai anak-anak kunci. Berbahagialah hamba itu yang Allah telah
menjadikannya kunci kebaikan (dan) penutup kejahatan. Yakni Allah telah
menjadikannya asbab hidayat. Dan kebinasaanlah buat hamba yang Allah
Ta’ala telah menjadikannya kunci kejahatan (dan) penutup kebaikan. Yakni
menjadi punca kesesatan. (HR Ibn Majah)
Hadrat Durrah binti Abi Lahab r.a berkata bahawasanya Rasulullah SAW
berada di atas mimbar lalu berdiri seorang lelaki dan bertanya: Ya
Rasulullah! Siapakah orang yang terbaik dikalangan manusia? Baginda SAW
bersabda: yang terbaik dikalangan manusia ialah orang yang paling banyak
membaca Al-Quran, yang paling bertakwa, yang paling banyak menyuruh
akan kebaikan dan melarang dari kemungkaran dan yang banyak
menghubungkan silaturrahim. (Musnad Ahmad, Tabrani)
Dari Abu Said r.a dan Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: Mengumpat adalah lebih buruk dari zina. Para
sahabat r.hum bertanya; Wahai Rasulullah, bagaimana mengumpat itu lebih
buruk dari zina? Baginda SAW menjawab: Seorang yang berzina boleh
memohon ampun, maka Allah SWT mengampunkannya, tetapi orang yang
diumpat, apabila dia tidak memaafkan orang yang mengumpat, maka
pengumpat tetap berdosa. (HR Baihaqi)
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa menghadapi kesempitan dalam rezekinya kemudian dia
mula meminta-minta kepada orang lain, maka kesempitan itu tidak akan
hilang. Dan barangsiapa menghadapi kesempitan dalam rezeki kemudian dia
meminta kepada Allah maka Allah menyediakan kepadanya rezeki dengan
segera, samaada dengan cepat atau dilambatkan sedikit. (HR Tirmizi)
Dari Uqbah ibn Amir r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Sesungguhnya perumpamaan bagi orang yang melakukan keburukan
kemudian melakukan kebaikan ialah seperti seorang yang memakai baju besi
yang sempit lalu tercekik. Kemudian dia melakukan kebaikan yang
menyebabkan sambungan baju itu longgar, kebaikan yang dilakukan
seterusnya menyebabkan ia bertambah longgar dan akhirnya akan terlucut
ke tanah. (HR Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Api dunia kamu adalah sebahagian daripada satu pertujuh puluh
daripada api neraka. Seorang bertanya: Ya Rasulullah SAW bukankah api
dunia sudah cukup panas. Rasulullah SAW menjawab: (Api dunia kalau
dibandingkan dengan api neraka) adalah enam puluh sembilan kali lebih
panas dan setiap satu kepanasan itu adalah sama dengan panasnya api
dunia. (HR Bukhari)
Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tempat
meletak busar panah seorang dari kamu dan tempat pemijak kaki dari
syurga adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya dan jika salah
seorang daripada wanita-wanita (bidadari) syurga muncul ke bumi nescaya
akan bercahaya-cahaya daripada syurga hingga ke bumi dan akan dipenuhi
keduanya dengan bau yang harum dan selendang atau tudungnya lebih
bernilai daripada dunia dan seisinya. (HR Bukhari)
Dari Ibn Abbas r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan Israfil, semenjak hari
penciptaannya terus berdiri dengan lurus di atas kedua belah kakinya
tidak pernah mengangkat wajahnya. Di antara dia dan TuhanNya yang Maha
Tinggi terdapat tujuh puluh hijab (dinding) dari Nur. Jika ia mendekati
kepada hijab ini nescaya akan terbakar. (HR Masahibus Sunnah)
Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya telah Berjaya seseorang itu yang beriman dengan ikhlas,
menjadikan hatinya suci (dari syirik dan kekufuran) ucapannya jujur dan
benar, jiwanya tenang (orang yang banyak berzikir dan melaksanakan
segala perintah Allah akan mendapat ketenangan), baik budi pekertinya,
menjadikan telinganya mendengar (nasihat) dan matanya melihat kepada
kebenaran. (HR Musnad Ahmad)
Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Tiga sifat,
barangsiapa mempunyai sifat-sifat yang berikut akan merasai kemanisan
iman: Pertama, mereka yang mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari
segala sesuatu. Kedua, Tidak mencintai seseorang kepada seseorang yang
lain kecuali kerana Allah SWT. Ketiga, seorang yang membenci untuk
kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api.
(HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah
SWT akan turun kelangit bumi pada dua pertiga daripada malam dan
bertanya: Siapakah orangnya yang berdoa kepadaKu nescaya Aku akan
perkenankan doanya. Dan siapakah orangnya yang meminta sesuatu akan Ku
beri permintaannya. Dan siapakah orangnya yang memohon pengampunan
nescaya akan Ku ampuni baginya. (HR Bukhari)
Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Allah SWT mengampuni dosa-dosa seorang muazzin sejauh mana
suaranya itu kedengaran. Dan setiap yang bernyawa atau tidak bernyawa
yang mendengar suara azannya memohon keampunan baginya, dan di dalam
satu riwayat yang lain setiap yang bernyawa atau tidak bernyawa menjawab
seruan azan yang didengarinya. (HR Ahmad)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Pada malam Isra’ aku telah lalu berhampiran satu golongan yang
bibir-bibir mereka dipotong dengan sebilah gunting dari api neraka. Aku
telah bertanya kepada Jibrail a.s siapakah mereka ini? Jibrail a.s
menjawab: Mereka adalah juru nasihat yang selalu menyuruh orang lain
berbuat baik dan melupakan diri sendiri, yakni dia sendiri tidak
beramal. Padahal mereka membaca kitab Allah SWT. Tidakkah mereka faham.
(HR Musnad Ahmad)
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
ditanya: Siapakah di antara orang beriman yang paling sempurna imannya?
Baginda SAW telah bersabda: Di antara orang beriman yang paling sempurna
imannya ialah dia yang berjihad di jalan Allah SWT dengan diri dan
hartanya. Kedua dia yang tinggal di satu lembah menyembah Allah SWT dan
dia menyelamatkan orang ramai dari kejahatannya. (HR Abu Daud)
Dari Abdullah Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Kamu semua hari ini mendengar perkara-perkara keagamaan
dariku, esok perkara-perkara ini didengari pula daripada kamu. Kemudian
ia didengari pula dari orang-orang yang mendengarinya daripada kamu
(kerana itu dengarlah dengan teliti dan sampaikanlah kepada orang-orang
yang selepas kamu, supaya mereka dapat menyampaikan kepada orang-orang
selepas mereka, dan urutan ini berterusan). (HR Abu Daud)
Dari Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah SAW telah menukilkan satu
firman Allah SWT di dalam sebuah hadis qudsi: Mana-mana hambaku yang
semata-mata mendapat redhaKu mereka keluar sebagai mujahid, maka Aku
memberi jaminan bahawa Aku akan memulangkannya ke rumah dengan pahala
dan harta rampasan, dan jika Aku memanggilnya kembali, maka Aku akan
mengampunkannya, merahmatinya dan akan memasukkanya ke dalam syurga. (HR
Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan
satu jemaah untuk keluar ke jalan Allah SWT, mereka telah bertanya: ya
Rasulullah! Malam ini kami pergi atau pun tinggal di sini dan pergi esok
pagi? Baginda SAW telah bersabda: Adakah kamu tidak ingin untuk
bermalam di salah satu kebun dari kebun-kebun syuirga? Yakni bermalam di
jalan Allah SWT adalah seperti bermalam di kebun-kebun syurga. (Sunan
Kubra)
Dari Jabir r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Aku dan
kamu diumpamakan sebagai seorang yang telah menyalakan api, lalu
rama-rama dan kelkatu jatuh ke atasnya dan dia menjauhkannya daripada
api itu. Aku memegang pinggang-pinggang kamu dan menyelamatkan kamu dari
api neraka, akan tetapi kamu terlepas dari tanganku. Yakni kamu terus
berjatuhan ke dalam api neraka. (HR Muslim)
Dari Muaz bin Jabbal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda: Mana-man hamba yang membuat amalan kebajikan untuk kemasyhuran
dan untuk menunjuk-nunjuk, maka Allah Ta’ala akan memasyhurkan perkara
ini di hadapan semua makhluk di Hari Kiamat nanti, (bahawa orang ini
mengerjakan amalan kebajikan untuk menunjuk yang kerananya dia mendapat
kehinaan). (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)
Dari Abu Barzah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Aku khuatirkan terhadap kamu bahawa kamu terjerumus di dalam kehendak
nafsu yang menyesatkan berkaitan dengan perut dan kemaluan kamu (seperti
makan makanan haram, berzina dan lain-lain) dan dari terjerumus di
dalam keinginan diri yang menyingkirkan kamu daripada jalan kebenaran)
dan membawa kamu kepada kesesatan. (HR Musnad Ahmad, Bazzar, Tabrani,
Majma uz Zawaid)
Dari Muaz r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Di
akhir zaman nanti akan wujud manusia yang pada luarannya adalah sahabat,
akan tetapi pada dalamannya adalah musuh. Baginda telah ditanya orang.
Ya Rasulullah! Mengapakah ini berlaku? Rasulullah SAW bersabda:
Persahabatan secara luaran adalah kerana ada keperluan antara satu sama
lain. Dan kerana ada permusuhan secara dalamanlah wujud rasa khuatir
satu kepada yang lain. (HR Musnad Ahmad)
Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Akan
dipersembahkan amal-amal manusia pada hari Isnin dan hari Khamis.
Barangsiapa yang memohon pengampunan maka akan diampuniNya pada hari
itu, dan barangsiapa bertaubat akan diterima taubatnya (tetapi) orang
yang ada sifat membenci atau berdendam akan ditinggalkan sehinggalah dia
bertaubat daripadanya. (HR Tabrani, Targhib)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa bersumpah palsu dengan sumpah palsu dan mengambil hak
seorang muslim yang lain Allah akan mewajibkan baginya memasuki neraka
Jahannam dan haram ke atasnya syurga. Seorang lelaki berkata: Ya
Rasulullah SAW walaupun di atas satu benda yang remeh? Nabi SAW
bersabda: Ya walaupun sebesar satu ranting dari pohon arak. (HR Muslim)
Dari ‘Iyaz bin ‘Imar r.a berkata, wahai Nabi Allah, seorang lelaki
daripada kaumku telah mencaci dan memburuk-burukkanku sedangkan dia
ialah seorang yang lebih rendah kedudukannya daripadaku. Bolehkah daku
membalas balik akan caciannya itu? Nabi SAW bersabda: Apabila dua orang
mencaci maki antara satu sama lain, adalah seumpama dua syaitan yang
mana kedua-duanya mencaci maki dan berkata bohong antara satu sama lain.
(HR Ibnu Hibban)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia
memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari
akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahmi yakni berbuat baik kepada
saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat,
hendaklah dia berkata yang baik atau pun diam. (HR Bukhari)
Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kerana
(mendakwahkan) agama, aku telah ditakut-takutkan yang mana tidak ada
seorang pun yang ditakut-takutkan seperti itu, dan aku telah disakiti
hingga tiada siapa yang disakiti seperti ini. Telah berlalu tiga puluh
malam dan tiga puluh siang berturut-turut dalam keadaan tidak ada
makanan sedikit pun yang boleh dimakan oleh benda bernyawa kecuali kadar
yang boleh disembunyikan oleh ketiak Bilal. Yakni kadar yang terlalu
sedikit. (HR Tirmizi)
Dari Zaid bin Khalid Juhani r.a meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW
telah bersabda: Sesiapa yang menyiapkan kelengkapan orang yang
menunaikan haji atau orang yang keluar di jalan Allah SWT atau pun
mengambil berat tentang ahli keluarga mereka selepas pemergian mereka,
atau menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia
akan mendapat pahala sama seperti orang yang keluar di jalan Allah yang
pergi mengerjakan haji dan orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan
sedikit pun pahala mereka. (HR Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW
telah bersabda: Semua umatku layak diberi keampunan kecuali mereka yang
melakukan dosa secara terang-terangan. Ini termasuklah orang yang
melakukan dosa pada suatu malam dan kemudiannya pada waktu pagi walaupun
Allah telah menutup dosanya (dan tidak menampakkannya kepada orang
ramai) dia berkata: Wahai fulan! Malam tadi aku telah melakukan (dosa)
itu dan ini. Padahal dia menghabiskan malam dalam keadaan Tuhannya
menutupinya tetapi dipagi hari menampakkan apa yang Allah SWT tutup
(pada malam itu). (HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Setiap hari Isnin dan hari Khamis, amal-amal manusia akan dipersembahkan
dihadapan Allah SWT dan Allah SWT akan mengampuni mereka pada hari itu
bagi orang yang tidak mensyirikkan sesuatu dengan Allah, kecuali seorang
yang memusuhi akan saudaranya (orang ini akan kecewa dari pengampunan
Allah). (Malaikat) akan mengatakan kepadanya: Tinggalkanlah kedua orang
ini sehingga kedua-duanya bermaaf-maafan, tinggalkanlah kedua orang ini
sehingga kedua-duanya saling bermaaf-maafan. (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Tahukah kamu apa itu memfitnah? Para sahabat r.hum berkata: Allah dan
RasulNya lebih mengetahui. Baginda SAW bersabda: Memfitnah adalah
mengatakan sesuatu tentang saudara (muslim) ketika dia tiada yang dia
tidak suka. Ditanya: Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada
dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku katakan? Baginda SAW
menjawab: Jika apa yang dikatakan benar, maka itu adalah mengumpat
(bahkan lebih buruk daripada memfitnah). (HR Muslim)
Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah
SAW bersabda: Akan datang dari umatku pada hari Kiamat nanti dimana
cahaya mereka seperti cahaya matahari. Kami bertanya: Siapakah mereka
itu wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab: Mereka itu ialah muhajirin
yang miskin. Yang berada teguh dalam kerja-kerja yang sukar dibarisan
hadapan. Apabila mereka mati keinginan mereka turut terpendam didalam
dadanya. Mereka dihimpunkan dari segenap penjuru bumi ini. (HR Musnad
Ahmad)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Tidak ada yang dicintai oleh Allah lebih dari dua titisan dan dua
kesan. Titisan ialah satu titisan air mata kerana takut kepada Allah.
Kedua ialah titisan darah yang mengalir di jalan Allah. Dan dua kesan
ialah kesan yang terjadi di jalan Allah (seperti parut-parut luka atau
kesan cedera yang berlaku di jalan Allah) dan kedua ialah kesan dari
melaksanakan perintah-perintah Allah yang fardhu (seperti tanda-tanda
sujud atau kesan perjalanan haji dan lain-lain). (HR Tirmizi)
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Tidaklah orang yang berkumpul untuk berzikir kepada Allah Azza
wa Jalla dengan tiada keinginan lain daripada mencari keredhaanNya,
kecuali bahawa (pada akhir majlis itu) seorang malaikat mengumumkan dari
langit (dengan perintah Allah): Bangunlah orang-orang yang patut
mendapat keampunan, kerana sesungguhnya dosa-dosamu telah diganti dengan
kebaikan. (HR Musnad Ahmad, Tabrani, Abu Ya’la, Bazzar dan Majma uz
Zawaid)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada
amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan
kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang soleh yang
ditinggalkan. Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya
atau rumah-rumah musafir diperjalanan yang didirikannya atau anak-anak
sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya
ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya. (HR Ibnu
Majah)
Dari Muaz al-Juhaniy r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa membaca Al-Quran dan beramal dengannya, kedua ibubapanya
akan dipakaikan mahkota pada hari Kiamat yang mana cahayanya lebih
terang daripada cahaya matahari. Kemudian kalaulah matahari itu berada
di dalam rumah kamu, (cahayanya tentu lebih terang, namun cahaya mahkota
itu lebih terang lagi. Kalau pahala ini hanya untuk kedua ibu bapanya)
Maka kamu dapat bayangkan apakah yang akan diterima oleh orang yang
membacanya sendiri. (HR Abu Daud)
Dari Buraidah Aslamiy r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Barangsiapa membaca Al-Quran, mempelajarinya dan
mengamalkannya akan dipakaikan pada hari Kiamat dengan sebuah mahkota
yang diperbuat daripada Nur. Cahayanya seperti cahaya matahari. Kedua
ibu bapanya akan dipakaikan dengan dua helai pakaian yang tidak ada
tandingannya di dunia ini. Dia akan bertanya kenapakah dia dipakaikan
dengan pakaian yang seumpama ini? Akan dijawab: Ini kerana kamu mengajar
anak kamu membaca Al-Quran. (HR Hakim)
Dari Anas r.a menceritakan bahawa seorang wanita selalu membersihkan
sampah-sampah di masjid telah meninggal dunia. Baginda SAW telah
diberitahu tentang kematiannya di waktu pengkebumiannya. Baginda r.a
datang lalu bersabda: Apabila meninggal dunia salah seorang daripada
kamu beritahulah aku. Lantas Nabi SAW menyembahyangi jenazahnya dan
bersabda: Sesungguhnya aku melihat dia berada di dalam syurga kerana dia
selalu membersihkan kotoran-kotoran di masjid. (HR Tabrani dan Majma uz
Zawaid)
Dari Uqbah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Apabila seseorang berwudhuk dengan sempurna kemudian menuju ke
masjid dan duduk menunggu untuk bersembahyang maka malaikat yang
mencatit kebaikan akan datang mencatit dimana setiap langkah dia
berjalan diganjari dengan sepuluh kebaikan. Orang yang duduk menunggu
sembahyang adalah seumpama orang yang beribadat. Semenjak dia keluar
daripada rumahnya sehinggalah dia kembali adalah dikira sebagai orang
yang sibuk bersembahyang. (Musnad Ahmad)
Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan; Satu hari Nabi SAW bersabda
tentang sembahyang bahawa: Barangsiapa menjaga sembahyang fardhunya
tepat pada waktunya, pada hari Kiamat nanti akan menjadi Nur kepada
orang yang mengerjakannya, menjadi penghujah bagi pihaknya dan menjadi
penyelamatnya. Sebaliknya tidak ada Nur, pembela dan penyelamat bagi
orang yang tidak menjaga sembahyangnya dan pada hari Kiamat mereka akan
digolongkan bersama Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf. (HR Ahmad dan
Tabrani)
Dari Huzaifah r.anhu meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Islam itu terdiri dari lapan bahagian (yang penting). Islam
(iman) satu bahgian, mendirikan solah satu bahagian, membayar zakat satu
bahagian, menunaikan Haji satu bahagian, berpuasa satu bahagian,
menyeru kepada kebaikan satu bahagian, mencegah daripada kemungkaran
satu bahagian dan berjihad di jalan Allah Taa’la satu bahagian,
sesungguhnya gagallah bagi mereka yang tidak ada satu bahagian pun
daripadanya. (HR Al-Bazzar)
Dari Abi Musa Al-Asya’ri r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Satu ketika berdiri di hadapan kami memberi lima rangkai
kalimat. Maka sabdanya: Sesungguhnya Allah SWT tidak tidur. Dan tidak
selayaknya bagi Allah SWT itu tidur. Mengurangi dan menambahkan rezeki.
Mengangkat amalan malam sebelum amalan siang. Dan mengangkat amalan
siang sebelum amalan malam. Hijabnya daripada nur, jika ia dibuka
nescaya sejauh mana makhluk yang dapat dilihat akan terbakar kerananya.
(HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Hendaklah kamu meminta perlindungan dari Jubbul-Hazan. Sahabah r.hum
telah bertanya: Apakah Jubbul-Hazan itu? Nabi SAW telah bersabda: Ia
adalah satu lembah di neraka yang neraka sendiri meminta perlindungan
darinya sebanyak seratus kali setiap hari. Rasulullah SAW ditanya:
Siapakah yang akan memasukinya? Nabi SAW telah bersabda: Pembaca-pembaca
Al-Quran yang melakukan amalan mereka itu untuk menunjuk-nunjuk. (HR
Tirmizi)
Hazrat Abu Said bin Abu Fadhalah Al Ansari r.anhu yang merupakan salah
seorang sahabat berkata, daku dengar Rasulullah SAW bersabda: Tatkala
Allah Ta’ala menghimpunkan manusia pada hari Kiamat iaitu pada hari yang
tiada keraguan mengenainya, berserulah satu penyeru: Barangsiapa yang
menyengutukan di dalam amalannya sesuatu dengan Allah SWT, maka mintalah
pahalanya daripada selain Allah SWT. Ini kerana Allah SWT Maha Kaya
yang tidak memerlukan perkongsian sesiapa pun. (HR Tirmizi)
Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
ditanya, siapakah yang paling mulia di antara manusia? Baginda SAW
menjawab: Setiap orang yang hatinya Makhmum dan lidahnya jujur. Sahabat
r,hum bertanya; Kami tahu seorang yang lidahnya jujur, tetapi apa yang
dimaksudkan dengan hati Makhmum? Baginda SAW menjawab: Makhmum ialah
oyang Muttaqin (menjauhkan diri dari keburukan kerana takut kepada
Allah) dan bersih hatinya, bebas dari segala dosa dan kesalahan, tidak
mempunyai sedikit pun perasaan dengki atau irihati padanya. (HR Ibnu
Majah)
Dari Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu,
tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada
kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu,
kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana
orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia
akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka. (HR
Bukhari)
Dari Zaid bin Thabit r.a berkata: saya telah mendengar Rasulullah SAW
bersabda: Jika matlamat seseorang itu adalah dunia maka Allah SWT akan
memporak perandakan urusannya. Yakni Allah SWT akan menyusahkannya di
dalam segala urusan (rasa khuatirkan) kemiskinan terbayang-bayang
dihadapan matanya, dan dia akan mendapat dunia hanya sekadar apa yang
telah ditakdirkan untuknya. Dan sesiapa yang niatnya adalah akhirat,
maka Allah SWT akan memudahkan urusannya dan Allah SWT akan menjadikan
hatinya kaya, dan dunia akan datang dalam keadaan hina kepadanya. (HR
Ibnu Majah)
Diriwayatkan daripada Hadhrat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW
telah bersabda: Sesiapa yang menyeru kearah hidayah dan pekerjaan yang
baik, dia akan mendapat pahala sama banyak dengan pahala orang-orang
yang mengikutnya. Dan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang-orang
yang mengikutinya. Begitu juga, sesiapa yang menyeru kejalan kesesatan,
dia akan mendapat dosa sepertimana dosa orang-orang yang mengikuti
kesesatan itu. Dan kerananya tidaklah berkurangan dosa orang-orang yang
mengikutinya itu. (HR Muslim)
Dari Miqdad r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Pada hari Kiamat, matahari akan dihampirkan pada semua makhluk sehingga
tinggal sebulan perjalanan dari bumi. (Disebabkan kepanasan) manusia
akan berpeluh mengikut kadar amalannya. Lebih banyak keburukan yang
dilakukannya lebih banyak peluh yang dikeluarkan sehingga ada yang
sampai ke buku lali, sebahagiannya ada yang sampai ke lutut,
sebahagiannya ada yang sampai ke pinggangnya dan sebahagian ada yang
sampai ke mulutnya. Rasulullah SAW menunjukkan tangannya ke arah
mulutnya (iaitu hingga sampai ke sini). (HR Muslim)
Dari Abdullah bin Zubair r.huma berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya
Nabi SAW pernah bersabda: Kalaulah anak Adam ini diberi satu lembah
daripada emas, nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang
kedua. Dan sekiranya diberi lembah kedua nescaya dia berkeinginan untuk
mendapatkan lembah yang ketiga. Dan sentiasa tidak akan merasa cukup
perut anak Adam ini kecuali dipenuhi dengan tanah (iaitu setelah mati).
Namun satu rahmat Allah terhadap hambaNya, dari mencintai harta dunia
kepada mencintai Allah (Dengannya didunia ini Allah memberi ketenangan
dan memelihara dari sifat tamak dan rakus dari mengumpul harta). (HR
Bukhari)
Dari Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Terdapat lima
doa yang pasti diterima doanya: Doa seorang yang dizalimi selagi dia
tidak mengambil tindak balas ke atas orang yang menzaliminya. Doa
seorang Haji selagi dia belum kembali ke kampung halamannya. Doa seorang
Mujahid selagi dia masih berada di perbatasan. Doa seorang yang sedang
sakit sebelum sembuh. Doa seorang saudaranya yang lain dibelakangnya
yang dilakukan secara sembunyi. Selanjutnya Baginda Rasulullah SAW
bersabda: Diantara doa-doa tersebut yang paling cepat diterima ialah doa
seorang saudara kepada saudaranya yang lain secara tersembunyi. (HR
Baihaqi)
Dari Abu Sa’id r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah keluar (dari
kamar Baginda lalu) dating kepada kami. Pada waktu itu kami sedang
membincangkan tentang Masih Dajjal. Baginda SAW telah bersabda: Mahukah
aku khabarkan kepada kamu sesuatu yang pada pendapatku lebih berbahaya
bagi kamu berbanding Dajjal? Kami berkata: Ya Rasulullah! Khabarkanlah
kepada kami. Baginda SAW telah bersabda: Ia adalah syirik khofi. (yang
contohnya ialah): Seseorang berdiri untuk sembahyang dan dia
memperbaguskan sembahyangnya kerana ada orang yang memerhatikannya
bersembahyang. (HR Ibnu Majah)
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-banga ke atas orang lain,
untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama – walaupun dengan cara yang
halal – dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT akan sangat
murka terhadapnya. Dan sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal
bertujuan supaya dia tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk
mencari rezeki kepada hali keluarga dan supaya dia mampu melakukan
kebajikan kepada jiran tetangga; maka pada Hari Kiamat dia akan bertemu
Allah SWT dalam keadaan wajahnya bercahaya seperti bulan purnama. (HR
Baihaqi)
Dari Haris bin Wahbin r.a berkata, aku mendengar nabi SAW bersabda:
Tidakkah aku tunjukkan kepada kamu, siapakah ahli-ahli syurga? (Kemudian
Nabi SAW sendiri bersabda): Tidakkah aku tunjukkan kepada kamu,
siapakah ahli-ahli syurga? Mereka ialah setiap orang yang lemah yakni
orang yang berlebih kurang apabila bermuamalah dengan orang lain, tidak
keras hatinya, tawadhuk dan berhati lembut sehingga orang menyangka dia
seorang yang lemah (hubungannya dengan Allah adalah) sekiranya dia
bersumpah dengan nama Allah, nescaya sumpahnya ditunaikan. Dan tidakkah
aku beritahu kepadamu siapakah ahli neraka. Kemudian Nabi SAW sendiri
menjawab: Dia ialah seorang yang mengumpulkan harta tetapi bakhil, keras
hati dan takabur. (HR Bukhari)
Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
bersabda: Pada hari Kiamat kelak akan dihimpunkan sekalian manusia dan
akan diseru kepada mereka: Dimanakah orang-orang fakir dan miskin
dikalangan umat ini? Nabi bersabda: Mereka semua bangun dan dikatakan
kepada mereka: Apakah yang kamu amalkan? Mereka akan menjawab: Wahai
Allah! Engkau telah menguji kami (dengan kemiskinan) namun kami tetap
bersabar. Engkau telah memberikan harta dan pemerintahan kepada orang
selain daripada kami. Allah berfirman: Kamu bercakap benar! Rasulullah
SAW bersabda: Lantas mereka dimasukkan ke dalam syurga terlebih dahulu
daripada orang lain. Dan tinggallah mereka dengan penghisaban yang keras
dikalangan orang-orang yang kaya dan para pemerintah. (HR Ibn Hibban)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Tujuh
golongan akan berada dibawah naungan rahmat Allah pada hari yang tidak
ada naungan kecuali naunganNya. (Pertama): Raja yang adil. (Kedua):
Pemuda yang menghabiskan masa mudanya dengan beribadat kepada Allah.
(Ketiga): Seorang lelaki yang hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada
masjid. (Keempat): Dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana
Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. (Kelima): Seorang lelaki yang
diajak oleh wanita bangsawan dan cantik kepadanya namun dia berkata: Aku
takutkan Allah. (Keenam): Seorang lelaki yang membelanjakan hartanya
secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang
diberikan oleh tangan kanannya. Dan (Ketujuh): Seorang lelaki yang
berzikir kepada Allah dengan bersunyi diri sehingga mengalirkan air
mata. (HR Bukhari)
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: Tahukah
kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu? Lalu jawab sahabat: Pada
pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai
wang dan harta? Lantas Baginda bersabda: Sesungguhnya orang yang muflis
di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan
membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang
sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan
harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. Lalu
diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah
kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya
sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina,
disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu
akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam
api neraka. (HR Muslim)
sumber : http://karkuzaridakwahiman.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment