Pesanan Hadraji Maulana Muhammad In’amul Hasan
Rahmatullah’alaih: 1. Sibukkan dirimu dalam usaha agama; jika tidak
kamu pun akan sibuk tapi bukan dalam agama. 2. Gunakan waktumu untuk
agama; jika tidak waktu pun akan habis tapi bukan untuk agama. 3.
Gunakan hartamu untuk agama; jika tidak harta pun akan habis tapi bukan
untuk agama. 4. Mati lah kamu dalam agama; jika tidak kamu pun akan
mati tapi bukan untuk agama.
Karguzari (laporan) ini disampaikan oleh beberapa rakan seusaha yang
turut bersama menguruskan jenazah allahyarham Muhammad Huzaifah, 21.
Huzaifah merupakan pelajar Universiti Malaysia Terengganu berasal dari
Sabak Bernam, Selangor.
Jemaah 40 hari daripada Terengganu ini telah diputuskan di Masjid Jamek
Bandar Sri Petaling untuk buat usaha dakwah & tabligh di Sandakan,
Sabah. Jemaah seramai 10 orang terdiri 5 orang awam dan lima lagi lagi
pelajar UMT, selamat tiba di lapangan terbang Sandakan pada hari Rabu
malam Khamis, 28hb April 2010. Jemaah kemudian dihantar ke Masjid
Pangeran Hj. Galpam, Batu 7 buat sementara waktu yang juga merupakan
marhalah seorang daripada syura Sandakan, Hj. Mohd Zain.
Detik-detik kematian Allahyarham..
Rakan Huzaifah, Fadhil, yang turut bersama jemaah ini telah ditanya oleh
Datuk Hj. Abdul Rahman di Masjid Pangeran Hj. Galpam berkenaan kejadian
yang menimpa allahyarham. Dia menceritakan pada pagi Selasa 4hb Mei
2010, Huzaifah diberi tanggungjawab untuk memberi bayan selepas solat
fardhu subuh berjemaah. Kemudian kesemua mereka bermesyuarat untuk
mengagih-agihkan tugasan pada hari itu. Setelah mesyuarat dan beberapa
waktu ketika, mereka (pelajar) seramai 5 orang pergi ke sungai
berhampiran untuk mandi kerana simpanan air di surau amat terhad untuk
kegunaan wudhu dan lainnya. Pada waktu awal pagi itu yang masih berembun
(suasana pedalaman), mereka kesemuanya turun ke tebing sungai yang mana
ketinggian paras air di tebing sungai itu sahaja pun sudah separas
dada. Mereka termasuk Huzaifah cuba berenang menyeberangi sungai ke
tebing bersebelahan. Setelah hampir di pertengahan, mereka memutuskan
untuk kembali semula ke tebing kerana sungai itu amat dalam. Huzaifah
tertinggal di belakang dan lemas tenggelam. Rakan mereka menyangkakan
Huzaifah bergurau kerana kali terakhir mereka melihatnya sebelum
tenggelam, dia masih kelihatan tersenyum seolah tiada apa-apa yang
berlaku. Setelah dua minit berlalu, barulah mereka risau kerana tidak
melihatnya. Pada pagi itu juga, ada beberapa pelajar sekolah menengah
yang berjalan kaki berhampiran sungai untuk ke sekolah. Dengan kehendak
dan kerahiman Allah SWT, pelajar-pelajar sekolah ini membantu rakan
jemaah mengeluarkan Huzaifah dari dasar sungai. Dalam usaha
menyelamatkannya dengan menekan pada dadanya, air berserta lumpur keluar
daripada mulutnya dan tidak dapat diselamatkan lagi. انّا للہ و انّا
الیہ راجعون
Jemaah telah pergi ke balai polis berdekatan dan melaporkan kejadian
ini. Akhirnya, pegawai polis yang telah diberi tanggungjawab,
menghantar jenazah ke Hospital Duchess of Kent di bandar Sandakan dengan
menaiki jeep untuk mendapatkan pemeriksaan lanjutan daripada pihak
hospital. Dua orang daripada jemaah ikut serta, seorang rakan seusaha
tempatan yang nusrah jemaah ini dan seorang lagi rakan allahyarham,
Fadhil. Hj. Darwis yang juga merupakan syura Sandakan dan seorang
doktor di hospital tersebut, mendapat perkhabaran ini dan kemudiannya
menyebarkan berita ini kepada rakan seusaha yang lain. Hari selasa malam
rabu merupakan malam mesyuarat mingguan usaha dakwah & tabligh di
Sandakan. Takaza ini dibentangkan dalam mesyuarat supaya pengurusan
jenazah dilakukan dengan kadar segera dan dihantar ke pangkuan
keluarganya di Sabak Bernam, Selangor. Tugasan telah diagih-agihkankan
kepada rakan seusaha yang bersedia menyambut tazaka ini, daripada hal
pengurusan jenazah di bilik mayat hospital termasuklah mengkafan dan
menyembahyangnya sehinggalah pengurusan kargo di lapangan terbang
Sandakan.
Rabu, 5hb Mei 2010..
Selepas solat subuh berjemaah, rakan seusaha yang telah diberi
tanggungjawab, pergi ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent. Semasa
allahyarham dikeluarkan daripada peti sejuk mayat, beberapa rakan
seusaha mengangkat jenazahnya. Seorang daripada mereka menceritakan,
jenazahnya sangat ringan dan lembut tidak kaku seperti orang yang masih
hidup. Wajah dan tubuhnya kelihatan berpeluh, seperti baru sahaja mandi.
Tubuhnya masih dalam kemerah-kemerahan. Allahyarham dimandi dan
dikafankan, kemudian disembahyangkan oleh rakan seusaha yang ramainya
dalam sekitar 30 orang di tempat khas. Jenazah juga disembahyangkan oleh
beberapa rakan seusaha yang lain selepas itu. Hj. Lakariba (syura
Sandakan) tidak menahan esak tangis semasa menyembahyangkan jenazah.
Sementara menunggu pegawai kementerian kesihatan pada pagi itu, Hj.
Lakariba membuka semula kafan allahyarham dan melihat wajahnya, sekali
lagi Hj. Lakariba menangis. Rakan seusaha yang lain mengatakan, wajah
allahyarham tenang dan tampak keputihan seperti diletakkan cairan lilin
pada permukaan wajahnya. سُبْحَانَ اللّهِ
Pada pukul 9 pagi, pegawai daripada Kementerian Kesihatan datang dan
menguruskan jenazah. Pemeriksaan pada tubuh allahyarham dilakukan,
keranda dipakukan pada empat penjuru, dibungkus dengan canvas dan diberi
cop/seal sebagai tanda sudah diberi pengesahan. Lebih kurang sejam
selepas itu, barulah jenazah dihantar ke lapangan terbang Sandakan.
Fadhil rakan pelajar allahyarham yang turut keluar 40 hari bersama,
menaiki kapal terbang ke KLIA menghantar jenazah allahyarham.
Diberitakan oleh rakan seusaha, pengurusan jenazah teratur dan
lancar/dimudahkan oleh Allah. Semasa menghantar jenazah allahyarham,
tiada lampu isyarat merah melambatkan perjalanan. Allahyarham kembali ke
rahmatullah pada waktu pagi, keesokan paginya juga jenazah dapat
dihantar ke Semenanjung.
Sedikit karguzari daripada Faiez Yemeny di FB, group Umat akhir Zaman,
beliau mengatakan bahawa Huzaifah masih menuntut di Universiti Malaysia
Terengganu(UMT), dia seorang yang amat peramah, sentiasa tersenyum, fikirman
dan karkun lama dikalangan pelajar. Walaupun sudah dua hari berlalu,
darah di hidung dan mulutnya masih lagi mengalir, muka tenang dan
jernih.
Sebelum Huzaifah berangkat bersama jemaah ke Pamol, dia sempat memberi
sepucuk surat kepada Cikgu Juswan (rakan seusaha Masjid Pangeran
Hj.Galpam) untuk dihantar kepada keluarganya di Sabak Bernam. Semoga
Allah SWT mengurniakan pahala Syahid kepada allahyarham, diberi ganjaran
SyurgaNya tanpa Hisab, diberi kesabaran kepada ayah bondanya dan
mempertemukan kita dan beliau di Syurga Firdaus bersama dengan para
Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin. Amin Ya Rabbal Èalamin.
Wallahu a’lam.
sumber : http://karkuzaridakwahiman.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment